malaysiakini logo
story-image
ADS

Tindakan lidah rasmi PAS Harakah meminta ketua pengarangnya Ahmad Lutfi Othman meletakkan jawatan serta menamatkan kontrak dua pengarang kanannya mencetuskan kemarahan akar umbi PAS.

Perkembangan itu mengundang PAS Batu mengadakan sidang media di Kuala Lumpur bagi menyatakan setiakawan mereka terhadap Lufti dan dua lagi bekas pengarang kanan Harakah – Tarmizi Md Jam dan Roslan Hamid.

Yang Dipertua PAS kawasan Batu, Ishak Surin ( kiri ) juga melontarkan kemarahannya kepada Pengerusi Harakah Datuk Mustafa Ali dan menyifatkan langkah itu tidak wajar dan tidak mencerminkan amalan dalam sebuah parti Islam.

“Mereka ini diminta berhenti tanpa sebab munasabah. Tak tahu apa sebab pun. Saya rasa ini tindakan yang tidak wajar.

“Tak patut dia (Mustafa) buat begitu. Dia dakwa sebagai pemimpin Islam, PAS. Tetapi perbuatan itu boleh mengaibkan Islam itu sendiri.

“Jadi kerana itulah PAS (kawasan) Batu bersama (kumpulan budayawan) Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) mengadakan sidang akhbar bersama tadi untuk mengutuk kerasnya tindakan yang dibuat Mustafa,” kata Ishak ketika dihubungi Malaysiakini .

Ishak yang juga antara pengasas Harakah juga mengambil langkah drastik menggesa supaya Mustafa ( kanan ) yang juga setiausaha agung PAS berundur daripada menjadi pengerusi Harakah .

“Saya minta dia berundur. Berundurlah. Dia (Mustafa) suka-suka saja nak berhentikan orang. Saya sebagai manusia saya rasa tak patut kita buang orang yang selama ini berkhidmat dengan Harakah bertahun-tahun.

“Saya sangat sedih. Saya merupakan pengurus Harakah yang pertama. Dulu duit pemimpin PAS pun satu sen pun kami tak ambil. Saya bukan nak ungkit.

“Tetapi, oleh kerana perkara ini sangat menyedihkan. Tak sepatutnya benda ini jadi begini,” katanya lagi sambil menangis.

Ishak berkata, tindakan PAS itu, terutamanya kepada Lutfi “tidak berperi kemanusiaan” memandangkan keadaan kesihatannya.

Malaysiakini kelmarin melaporkan Harakah sebagai meminta Lutfi, yang sedang bercuti sakit, meletakkan jawatan dan ditawar pencen illat dengan bayaran separuh gaji  Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Lutfi bagaimanapun masih berminat untuk terus memberi khidmatnya kepada akhbar itu sebagai "sumbangan kepada parti".

Langkah itu dikaitkan abangnya Dinsman, juga seorang penulis terkenal, dengan beberapa tulisan yang didakwa mengkritik kepimpinan ulama dalam PAS.

Aktivis media khuatir motif lain

Sementara itu, kumpulan aktivis media bebas Gerakan Media Marah (GERAMM) pula khuatir terdapat motif lain di sebalik tekanan terhadap Lutfi itu dan bukan semata-mata atas alasan kesihatan.

Dalam kenyataannya hari ini, GERAMM turut bimbang terhadap kemungkinan wujud unsur penindasan terhadap tiga pengarang tersebut.

"Sekalipun Harakah adalah akhbar kepartian, kebajikan kakitangan, sama ada berpangkat tinggi mahupun rendah harus dipelihara sebaik-baiknya.

"Pada masa sama, nilai kebebasan media perlu diangkat, tidak hanya melukut di tepi gantang.

"Apatah lagi, ia membabitkan pemilik organisasi penerbitan yang turut sama melaungkan kebebasan bersuara secara bertanggungjawab," kata GERAMM.

Justeru, GERAMM berharap agar kemelut pemecatan itu berakhir dengan damai tanpa menjejaskan kewibawaan akhbar, pemilik organisasi mahupun kakitangan editorialnya.

Lihat Komen