malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melarang kita mengadakan diskusi tentang cabaran fundamentalisme agama minggu depan.

Alasannya, penganjur mengundang Ulil Abshar Abdalla, sarjana dan pendiri Jaringan Islam Liberal (JIL) yang kontroversi.

Diskusi pada pagi 18 Oktober bertajuk 'Cabaran fundamentalisme agama abad ini' dianggap medan Ulil Abshar menyebarkan faham Islam liberalnya.

Maka, Jakim berhujah panjang lebar betapa bahayanya pemikiran lulusan Universiti Harvard ini, menantu kiyai Mustofa Bisri, seorang tokoh Nahdhatul Ulama (NU) Indonesia.

Ketua pengarah Jakim berkata Malaysia hanya berpegang kepada aliran Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan sebarang usaha sebaliknya "boleh memberi ancaman dan menggugat pegangan akidah umat Islam" dan "perlu dihalang dan disekat."

Jakim berpandangan, diskusi itu nanti akan menyebarkan "liberalisme agama" sedangkan Ulil Abshar termasuk "dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai autoriti dan boleh membawa implikasi buruk sehingga menimbulkan keresahan awam."

"Penampilan pihak-pihak ini ke Malaysia bukan sahaja boleh merosakkan hukum syarak secara halus malah bahaya, dan dikhuatiri boleh menggugat persoalan akidah," Jakim dipetik sebagai berkata semalam.

Jabatan agama ini juga telah memaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan berharap diskusi berkenaan disekat.

Zulkifli Noordin, bekas tokoh Perkasa dan bekas wakil rakyat PKR, dikatakan telah membuat aduan polis berhubung acara tersebut.

Beliau mahu penganjurnya Islamic Renaissance Front (IRF) disiasat polis dan tokoh muda Indonesia itu diberikan status 'persona non grata' (dilarang masuk).

Nasib Ulil Abshar, katakan beliau dihalang ke negara ini nanti, lebih malang daripada Karen Armstrong, sarjana pro-Islam yang dilarang bukunya beberapa tahun dulu oleh KDN.

Karen, pengkaji fundamentalisme agama yang tersohor melalui 'The Battle for God', dianggap tokoh yang kuat simpatinya pada umat Islam, khasnya selepas paparan negatif Islam di Barat sejak tragedi 11 September 2001.

Daniel Pipes, tokoh pengkritik aliran radikal Islam, menyifatkan Karen dan seorang lagi sarjana besar, John Esposito, sebagai "two of the West's leading apologists for radical Islam."

Seperti nasib 'The Battle for God' Karen, karya Esposito -- 'What Everyone Needs to Know About Islam' (terbitan Oxford University Press) juga diharamkan di Malaysia pada Jun 2006.

Waktu itu, Abdullah Ahmad Badawi melancarkan gagasan Islam Hadhari dan ketika agamawan Umno ini dikelilingi penasihat-penasihat progresif 'tingkat empat'!

Mengulas pengharaman bebal kerajaan Malaysia itu, Karen menulis di akhbar The Guardian (Julai 2007): "... I arrived in Kuala Lumpur to find that the Malaysian government had banned three of my books as 'incompatible with peace and social harmony'.

"This was surprising because the government had invited me to Malaysia, and sponsored two of my public lectures.

"Their position was absurd, because it is impossible to exert this type of censorship in the electronic age."

Pengarang buku 'A History of God' dan 'Muhammad: A biography of the prophet' (dua lagi bukunya yang diharamkan di sini pada 2005) menyindir begini:

"In fact, my books seemed so popular in Malaysia that I found myself wondering if the veto was part of a Machiavellian plot to entice the public to read them."

Namun, tindakan bebal ini bukan hanya terkhusus pada kajian fundamentalisme Karen.

Seingat saya, sekurang-kurangnya ada dua lagi buku mengulas gejala fundamentalisme Islam (kedua-duanya pengarang Muslim) diharamkan sewaktu dunia sedang berminat memahami gejala ini, khususnya dalam konteks radikalisme agama.

Kita tertanya-tanya kenapa kajian atau kupasan tentang fundamentalisme agama, termasuk Islam, diharamkan sedangkan isu ini topik utama dunia dalam tempoh beberapa dekad mutakhir.

Gejala fundamentalisme bukan terkhusus pada Islam. Malah, semua agama termasuk Kristian dan Hindu juga mewarisi trend seumpamanya.

Buku Karen itu 'The Battle for God: Fundamentalism in Judaism, Christianity and Islam' mengupas fundamentalisme tiga agama besar ini.

Ia sangat mendalam dan mengasyikkan bagi peminat kajian politik gerakan Islam ala PAS, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) atau Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

(ii)

Utusan Malaysia , Umno dan Dr Mahathir Mohamad pernah berperang dengan gerakan dakwah dan gejala fundamentalisme sejak lewat 1970-an.

Tetapi tidak lama selepas tokoh Umno ini meninggalkan kerusi teratas kepemimpinan negara, birokrasi agama kita bertukar sebuah gerakan dakwah fundamentalis pula!

Seolah-olahnya birokrasi agama ini dan kerajaan terkena sumpahan Firaun.

Gara-gara takut takhtanya digoncang seorang anak muda (kemudian dikenali sebagai Musa), raja Mesir ini memerintahkan agar semua bayi lelaki dibunuh.

Tetapi dia tidak sedar anak kecil yang ditemui di tepi sungai itulah pemuda yang dicari-carinya. Lalu anak kecil ini dimanjai dan dibesarkan di istana gahnya sendiri. Mimpi ngerinya menjelma sebagai Nabi Musa.

Barangkali perlambangan tadi tidak serasi dengan isu fundamentalisme yang kita bahaskan di sini.

Tetapi sumpahan Firaun itu masih tepat untuk menunjukkan ketololan pemerintah berdepan dengan ancaman fundamentalisme.

Gejala yang dianggap oleh kerajaan dan Umno mengancamnya dan cuba dikawalnya habis-habisan suatu waktu dulu, kini dibiarkan subur dalam jelmaan baru, jelmaan Jakim atau KDN.

Kajian fundamentalisme agama yang seharusnya disebarkan seluas-luasnya agar rakyat memahami dan berwaspada kini disorok daripada pengetahuan umum.

Jika Abdullah memerangi buku-buku kajian fundamentalisme agama, kini Najib Abdul Razak bercakap tentang bahaya pluralisme dan liberalisme agama -- seolah-olah perdana menteri kita sedang berdakwah lagak seorang anggota kumpulan Tabligh!

Tidak cukup pengharaman buku-buku, Jakim pula keliru antara diskusi isu fundamentalisme, yakni isu sosio-politik gerakan agama seperti PAS, dengan wacana "Islam liberal".

Alangkah jauhnya penyimpangan Jakim dalam memahami persoalan politik dan intelektual umat.

Jika di zaman Dr Mahathir, tokoh seumpama Ulil Abshar mungkin saja diundang untuk mengupas bagaimana kita memahami dan mendekati gerakan fundamentalis agama.

Namun, ada sumpahan tolol lain yang Jakim dan KDN harus ambil iktibar. Buku Karen, yang diharamkan pada 2005, akhirnya dibatalkan larangannya tiga tahun kemudian!

'A History of God: The 4,000-Year Quest of Judaism, Christianity and Islam', yang melonjakkan nama Karen, ditarik balik selepas kejadian pelik pada 2007.

Sewaktu Karen diundang berucap di sebuah institut bawah Kementerian Luar Malaysia di Kuala Lumpur, sewaktu sesi soal jawab, seorang peserta menggesa kerajaan menarik balik pengharamannya.

Usulan ringkas peserta itu mendapat tepukan gemuruh para peserta lain! Menteri luar Syed Hamid Albar dan Dr Mahathir pasti masih ingat tepukan gemuruh itu.

Setahun kemudian, Mei 2008, KDN memansuhkan ketololannya sendiri. Apakah nasib Ulil Abshar nanti seberuntung Karen?


FATHI ARIS OMAR, seorang editor Malaysiakini , mengenali Ulil Abshar Abdalla dari dekat sejak menjalankan kajian di Jakarta sedekad lalu.

Lihat Komen