BERITA

'Guan Eng cemar nama Khalifah Umar'

1 Oct 2014, 4:32 am

Dikemaskini 6 tahun lepas

A
+
A
-

PAS Wilayah Persekutuan (WP) membidas tindakan pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menggantung ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim berhubung isu pembangunan di negeri itu.

Pesuruhjaya PAS WP Mohamad Noor Mohamad menyifatkan tindakan menggantung bendahari PAS Pulau Pinang itu dalam jawatankuasa tetap MPPP, bertentangan dengan sikap Khalifah Umar Abdul Aziz yang menitikberatkan kebebasan bersuara.

Lim yang juga setiausaha agung DAP sebelum ini kerap memetik nama khalifah itu sebagai panduan buatnya dalam mentadbir Pulau Pinang.

"Ia bukan sahaja jelas tidak menggambarkan kepimpinan sebenar Khalifah Umar Abdul Aziz bahkan mencemarkan nama baik khalifah agung tersebut.

"Tidak sepatutnya teguran rakan Pakatan Rakyat dianggap sebagai satu tikaman daripada musuh," katanya yang meluahkan rasa terkilan dan dukacita dengan tindakan itu.

"Khalifah Umar Abdul Aziz merupakan seorang khalifah yang amat menitik beratkan kebebasan mengutarakan pandangan sewaktu era pemerintahan beliau.

"Saudara Iszuree hanya menyuarakan pandangannya untuk kebaikan masa depan penduduk dan rakyat Pulau Pinang," kata Mohamad lagi dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Mohamad menggesa Lim agar menarik balik penggantungan dan pembekuan peruntukan yang dikenakan terhadap Iszuree demi melaksanakan pemerintahan yang "cekap, akauntabiliti dan telus".

"Usah membina semula sistem zalim pengamalan yang lama di atas keruntuhan yang lama di bawah pemerintahan yang baru," kata Mohamad Noor.  

Iszuree pada muktamar PAS di Batu Pahat menegur kerajaan Pulau Pinang supaya tidak mencontohi pentadbiran BN dalam menyelesaikan masalah setinggan.

Susulan ucapannya itu keanggotaannya dalam jawatankuasa tetap MPPP digantung dan peruntukan buatnya dibekukan oleh kerajaan negeri.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.