Terdapat peluang yang luas untuk profesional Muslim Malaysia melibatkan diri dalam projek pembesaran bandar Makkah yang sedang berlangsung, kata seorang perunding Malaysia, Mohd Rus Abbas.
Mohd Rus, 36 seorang perunding kos dengan sebuah firma Arab Saudi terlibat di dalam projek pembangunan Masjidilharam berkata banyak peluang kerja terbuka untuk profesional Muslim dari Malaysia seperti jurutera sivil dan mekanikal, juruukur bahan dan arkitek dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang terkehadapan di dalam bidang pembinaan.
"Saya lihat prospek besar kerana kerajaan Arab Saudi amat memerlukan tenaga kerja dan kepakaran dalam projek-projek pembangunannya yang semakin pesat pada masa ini," katanya kepada media Malaysia semasa majlis usrah bersama golongan profesional Malaysia di rumahnya di Batha Quraish, sembilan kilometer dari Makkah baru-baru ini.
Mohd Rus yang datang bekerja di Makkah lewat tahun 2011 berkata malah penglibatan golongan profesional Muslim dari Malaysia diterima baik oleh kerajaan Arab Saudi.
Kini jumlah tenaga kerja Muslim Malaysia di Makkah semakin meningkat sehingga membolehkan mereka menubuhkan sebuah usrah - satu kumpulan perbincangan agama - sekali setiap dua minggu, yang juga menjadi tempat keluarga profesional yang bekerja di Makkah berkumpul.
Graduan juruukur bahan Universiti Teknologi MARA itu pernah terlibat dalam pelbagai projek di Malaysia seperti Universiti Teknologi Petronas, pusat penapisan minyak di Melaka, pusat membeli-belah Pavillion dan projek terakhirnya, pembinaan kilang Lynas di Kuantan, Pahang.
Kemudian beliau berkhidmat sebagai perunding minyak dan gas dalam pengurusan kontrak dengan British Petroleum di Oman selama tiga tahun dari 2008 sehingga penghujung 2011.
Mohd Rus dari Sg Air Tawar, Sabak Bernam, Selangor berkata terdapat dua perunding dari Malaysia termasuk beliau bekerja dengan majikannya sekarang, selain daripada 30 orang lagi dalam pembinaan laluan tawaf jemaah haji di sekeliling Kaabah.
Semasa kali pertama ditawarkan bekerja di Makkah, beliau berfikir tugasnya adalah berkaitan dengan hotel atau pusat membeli belah dan tidak menduga akan bekerja di Masjidilharam dan menjadi salah seorang perintis dalam projek pembesaran masjid itu.
"Saya ditemuduga melalui panggilan telefon semasa saya di Oman," katanya yang mendapat peluang itu selepas disyorkan oleh seorang rakannya.
Pada beliau pekerjaan ini adalah satu ibadat yang mengajarnya erti kejujuran, ketelusan selain serius dalam menunaikan tanggungjawab bukan kerana majikan tetapi kerana Allah.
"Peringkat awal agak sukar kerana ianya memerlukan ketelusan yang terperinci , dan cabarannya ialah tidak boleh berlaku kesilapan dan itu amat penting, tambahnya.
Mohd Rus yang telah berkahwin dengan Masnira Ramli dengan dua cahaya mata berkata, untuk warga Malaysia mencuba nasib di luar negara, mereka perlu berani, yakin dan jujur serta tidak malu mengaku mereka melakukan kesilapan.
Menyentuh projek Masjidilharam, beliau berkata projek itu adalah bagi menyediakan ruangan lebih luas untuk lebih ramai lagi jemaah haji menunaikan ibadat mereka dalam persekitaran yang selamat dan selesa.
Projek pembesaran Masjidilharam dalam tiga fasa itu bagi meningkatkan kapasiti masjid itu untuk menampung tambahan 1.6 juta jemaah.
- Bernama