Keutamaan bagi jemaah haji yang kini telah berada di Makkah adalah memastikan kesihatan mereka tidak terjejas agar mereka dapat menjalankan ibadah haji dengan sebaik-baiknya.
Pengarah Operasi Haji Di Makkah Redhuan Sabaruddin berkata walaupun masa masih lama sebelum kemuncak ibadah haji iaitu wukuf di Arafah pada 9 Zulhijah, yang dijangka jatuh pada 3 Okt, jemaah haji perlu memastikan ibadah mereka di Masjidilharam serta ibadah umrah dijalankan setakat termampu.
"Fokus sekarang adalah ibadah haji, dan kesihatan memainkan peranan yang penting," kata Redhuan yang juga Konsul Haji di Arab Saudi yang berpangkalan di Jeddah pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini Sabtu malam.
Kini 8,459 daripada 22,320 jemaah haji Malaysia sudah berada di Tanah Suci, iaitu 2,091 di Makkah dan selebihnya di Madinah.
Beliau juga turut menasihati jemaah haji supaya tidak keluar untuk menziarah tempat-tempat bersejarah di Makkah seperti ke Jabal Nur, Jabal Rahmah, Jabal Tsur dan sebagainya secara bersendirian.
"Pergerakan secara berkumpulan adalah digalakkan," katanya sambil mencadangkan supaya ziarah dilakukan selepas ibadah haji selesai.
Redhuan berkata di Makkah, Lembaga Tabung Haji (TH) tidak menganjurkan sebarang program ziarah kerana ia telah diserahkan kepada Muassasah Asia Tenggara untuk dikendalikan.
Muassasah Asia Tenggara juga bertanggungjawab mengenai ibadah haji dan umrah pertama jemaah haji di Makkah.
Menyentuh mengenai penginapan jemaah haji di Makkah, beliau berkata TH memperuntukkan sembilan bangunan yang mampu menempatkan antara 750 hingga lebih 3,000 orang dengan empat hingga lapan orang ditempatkan dalam satu bilik berdasarkan saiz bilik berkenaan.
Redhuan berkata penempatan jemaah haji di maktab penginapan dibuat berdasarkan kapal terbang yang mereka naiki bagi memudahkan pergerakan.
Beliau berkata jemaah yang menaiki pesawat Saudi Airlines yang mampu memuatkan 450 orang, akan ditempatkan di pusat penginapan yang lebih besar.
Sebaliknya, Redhuan berkata Malaysia Airlines yang membawa 279 jemaah pula akan ditempatkan di maktab yang lebih kecil.
Katanya sembilan penginapan itu terdiri daripada Abraj Al Janadiriyyah yang terbesar, diikuti Land Premium serta Rehab Al Janadiriyyah.
Yang lain terdiri daripada Qasr Al Janadiriyyah, Burj Al-Haram 2, Al Bisyarah Mawaddah, Manar Al Shorouq, Raudah Al Shorouq dan Hassan Khazindar yang paling kecil memuatkan kapasiti 750 jemaah.
Beliau berkata penempatan jemaah haji di maktab akan dibuat dengan seimbang supaya tidak ada yang terlebih atau terkurang bagi memastikan pengurusan jemaah haji dapat berjalan dengan baik.
Penempatan jemaah dalam sesebuah bilik dibuat menggunakan sistem komputer berdasarkan kapal terbang yang mereka naiki, kecuali jemaah datang dengan kumpulan anggota keluarga yang besar.
"Mereka telah membuat permohonan terlebih dahulu di Kuala Lumpur serta jemaah yang datang bersendirian yang memohon untuk ditempatkan dengan teman-teman mereka," katanya.
Redhuan berkata bangunan untuk penginapan jemaah haji disewa secara kontrak antara dua hingga tiga tahun berdasarkan faktor persekitaran dan kesesuaian, bagi memastikan keselesaan jemaah haji yang akan tinggal di maktab melebihi 40 hari.
- Bernama