Parti Rakyat Malaysia hari ini melahirkan kebimbangan pelajar luar negeri yang aktif berpolitik akan menjadi mangsa apabila Umno memperkenalkan dasar baru mendekati pelajar seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
"Yang membimbangkan ialah 'perubahan dasar' itu melibatkan gangguan terhadap pelajar yang dilihat 'tidak betul politiknya' seperti yang terjadi sebelum ini," kata Naib Presiden PRM, Rustam A Sani.
Beliau mengulas kenyataan Dr. Mahathir yang mengumumkan polisi baru itu selepas mesyuarat agung Umno minggu lalu.
Perdana Menteri, yang juga Presiden Umno, mahu parti itu mengambil dasar baru mendekati golongan pelajar universiti dan guru. Dua golongan ini dipercayai tidak lagi mudah dipengaruhi oleh politik Umno selepas krisis politik ekoran pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada September 1998.
"Dulu kita berpendapat kita tidak harus ganggu penuntut baik di sekolah, baik di universiti. Malangnya ada pihak tertentu yang tidak menghormati kepentingan pelajaran penuntut, sebaliknya mereka ingin menghasut penuntut ini, apabila membesar, (penuntut) akan memihak kepada mereka," kata Dr. Mahathir seperti dilaporkan dalam Berita Harian hari ini.
Menurutnya lagi, parti kerajaan tidak ada niat untuk berkempen, sebaliknya bertujuan memastikan penuntut tidak terus dihasut parti pembangkang.
Bagaimanapun, Rustam tidak yakin dasar baru itu bertujuan positif. "Pelajar Malaysia di luar negara yang mempunyai kesedaran politik yang sihat tetapi bukan mengikut cara politik Umno sering mendakwa telah diugut dan diganggu oleh Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) serta kedutaan Malaysia di tempat masing-masing," kata Rustam dalam kenyataannya.
Ketika dihubungi malaysiakini , Rustam menjelaskan para pelajar itu diarahkan menemui MSD di sana dan diberi peringatan tentang kedudukan biasiswa mereka.
"Kaedah gertak pelajar telah lama berlaku, cuma kali ini kerajaan semakin bimbang dan melakukan ancaman yang lebih serius," katanya.
Rustam menyeru Perdana Menteri supaya bersikap adil dan demokratik. "Sekiranya para pelajar digalakkan mempunyai 'kesedaran politik,' maka kesedaran itu tidak harus terbatas kepada politik Umno sahaja," tambahnya.
Naib Presiden PRM itu juga menafikan dakwaan kelab Umno di luar negara semata-mata satu badan sosial. "Badan-badan itu sebenarnya terlibat dalam politik dalaman Umno, menerima wang pemimpin Umno tertentu untuk memajukan agenda peribadi masing-masing, dan menjadi alat untuk pelajar Malaysia mengutip manfaat - misalnya tambang percuma ke persidangan tahunan Umno," jelas Rustam.
Beliau juga mempertikaikan sikap kerajaan Malaysia terhadap pelajar tempatan yang dikenakan kawalan ketat Akta Universiti dan Kolej Universiti tetapi kawalan seumpama itu tidak dikenakan pelajar Malaysia di luar negara.
