malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes Zarina: Keperluan JPN tak langgar perlembagaan
ADS

Keperluan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya Zarina Abdullah Majid memohon pengisytiharan keluar Islam daripada Mahkamah Syariah adalah tidak bercanggah dengan perlembagaan.

Pada 7 Jun lalu, ahli parlimen Beruas Ngeh Khoo Ham dilaporkan sebagai berkata, keperluan JPN supaya Zarina memohon pengisytiharan bukan Islam daripada Mahkamah Tinggi Syariah bercanggah dengan perlembagaan.

Beliau turut berkata keperluan sebegitu melanggar Perkara 11(1) dan ia memberi gambaran keputusan mengenai kepercayaan seseorang kini terletak pada pihak ketiga (mahkamah).

Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan sewajarnya ditafsirkan mengikut lunas atau semangat perlembagaan dan juga kes-kes undang-undang.

Walaupun dalam kes Zarina tersebut, status agama rasminya masih belum disahkan tetapi jika betul dakwaan bapanya Abdul Majid Gulam Kader bahawa Zarena lahir dalam keluarga Muslim, maka tanggapan undang-undangnya ( presumption of law ) adalah Zarena secara rasminya seorang Muslim sehingga dibuktikan sebaliknya.

Maka atas dasar itu, keperluan JPN ke atas Zarena tersebut adalah sememangnya tidak bercanggah malah selari dengan kehendak perlembagaan.

Kes 2002 & 2007

Kenyataan yang menyatakan bahawa keperluan JPN tersebut bercanggah dengan perlembagaan juga adalah suatu kenyataan yang mendahului Mahkamah (Syariah) dan turut melanggar prinsip atau doktrin pengasingan kuasa dua aliran mahkamah bawah Perkara 121 (1A) Perlembagaan.

Malahan, kes Zarina juga boleh mencetuskan ( trigger ) Perkara 11 (4) Perlembagaan.

Dalam kes Alimah Abdul Jabbar & Khatijah Bt Abdul Jabbar lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (2007), mahkamah memutuskan bahawa perkataan “Islam” pada kad pengenalan Malaysia bukanlah sesuatu yang mutlak yang menentukan keislaman seseorang,

Bagaimanapun, mahkamah yang sama juga memutuskan penentuan agama si anak itu adalah bergantung kepada status perkahwinan ibu bapa dan juga agama si ibu ketika melahirkannya.

Tambahan pula mahkamah juga dalam kes Daud Mamat & Lain-Lain lwn Majlis Agama/Adat Istiadat Melayu, Kelantan & Kerajaan Negeri Kelantan (2002) menggariskan bahawa kebebasan beragama bawah Perkara 11 Perlembagaan tersebut tidak termasuk hak untuk keluar daripada agama (murtad).

Oleh yang demikian, walau apa pun yang didakwa dan/atau dinyatakan oleh kedua-dua pihak iaitu Abdul Majid dan Zarina sendiri, segala keterangan mereka haruslah diputuskan oleh mahkamah (Syariah) dalam menentukan status agama Zirena.

Sebagai penegasan semula, penentuan status agama Zarina seharusnya ditangani secara kehakiman ( judiciously ) yakni melalui proses mahkamah (Syariah) yang sudah pasti berperlembagaan ( constitutional ) dan tidak hanya sekadar membuang perkataan “Islam” daripada kad pengenalan pendaftaran negara.


WAN ANWAR WAN IBRAHIM peguam syarie, peguambela dan peguamcara (Malaya) serta peguam kepada Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM).