malaysiakini logo
story-image
ADS

Tiga nelayan yang dilaporkan hilang ketika keluar menangkap ikan sejak 11 hari lalu di Perairan Pulau Tenggol ditemui selamat awal pagi tadi.

    

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacob berkata mereka yang ditemui nelayan tempatan kira-kira pukul 10 pagi semalam kemudiannya ditunda balik dan tiba di jeti Seberang Takir, Kuala Terengganu kira-kira pukul 4.30 pagi tadi.

    

"Bot mereka dipercayai mengalami kerosakan enjin sebelum hanyut dibawa arus sehingga sempadan Vietnam. Kesemua mereka ditemui selamat dan sihat. Dua daripada mereka telah pulang ke rumah mereka di Dungun," katanya kepada Bernama.

    

Isnin lalu, Che Wan Mohd Radzi Ce Wan De, 48, bersama dua awak-awaknya Wan Kamarudin Wan Ali, 52, dan Ahmad Che Ngah, 39, dilapor hilang setelah keluar menangkap ikan.

    

Gerakan mencari dilancarkan dengan bantuan sebuah bot polis marin dan dua buat bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta sebuah pesawat Cessna Caravan milik Unit Udara Polis Diraja Malaysia.

Pengalaman di laut

Sama ada hidup atau mati, hanya itu yang menjadi ingatan kepada tiga nelayan dari Dungun yang hanyut selama 11 hari sehingga sampai ke perairan sempadan Vietnam, kira-kira 90 batu nautika dari Seberang Takir.

    

Menurut tekong bot Che Wan Mohd Radzi Che Wan De, 48, selama tempoh itu mereka sangat berharap ada bot nelayan yang menghampiri dan menyelamatkan

mereka.

    

"Alangkah leganya apabila kira-kira 10 pagi semalam, sebuah bot pukat tunda tempatan menghampiri dan menyelamatkan kami.    

    

"Pada mulanya sebaik melihat bot itu, kami melambai tangan dan Alhamdulillah nasib kami agak baik apabila bot berkenaan menyedari kami.

    

"Mereka kemudiannya menunda bot kami sehingga ke Seberang Takir," katanya kepada pemberita hari ini.

    

Mereka hanyut apabila bot mereka mengalami kerosakan enjin pada 27 Mei lalu, kira-kira 22 batu nautika dari perairan Pulau Tenggol, Dungun.

    

Mereka cuba membaiki enjin tetapi gagal.

    

Che Wan Mohd Radzi berkata sepanjang berada di tengah lautan, ketiga-tiga mereka mendapat makanan dari hasil tangkapan mereka, setelah bekalan makanan mereka habis.

    

"Kami jangka akan hanyut sehingga ke Pulau Redang, namun tidak sangka pula makin jauh kami dihanyutkan. Kami tidak tahu di mana lokasi kami kerana alat radio serta telefon bimbit kami tidak boleh digunakan," katanya.

    

Beliau bersyukur kerana awak-awaknya Wan Kamarudin Wan Ali, 52, dan Ahmad Che Ngah, 39, turut selamat.

   

- Bernama