malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Karpal: Jangan biar K'tan laksana hudud
Diterbitkan:  Apr 3, 2014 8:00 AM
Dikemaskini: 10:49 AM

Peguam kanan Karpal Singh memberi amaran bahawa Parlimen tidak boleh membiarkan usul yang tidak mengikut undang-undang dikemukakan untuk membolehkan kerajaan Kelantan menguatkuasa hudud.

Beliau mendakwa, Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 itu sendiri diluluskan dengan tidak mengikut undang-undang kerana DUN Kelantan tiada bidang kuasa untuk meluluskan enakmen tersebut.

“(Enakmen tersebut) pada awalnya tidak mengikut undang-undang. DUN tiada bidang kuasa untuk meluluskan enakment tersebut.

“Parlimen tidak boleh menguatkuasa enakmen yang tidak mengikut undang-undang yang diluluskan oleh DUN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, DAP tegas dengan pendirian menentang pelaksanaan hukum hudud dan tidak akan bertolak ansur dengan undang-undang yang menurutnya tidak sesuai dengan zaman ini.

Pendirian tersebut juga menjadi bukti kepada kezahiran DAP, kata bekas pengerusi DAP itu lagi.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob yang dilaporkan akan mengemukakan usul rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi mendapatkan kebenaran untuk melaksanakannya.

Beliau berhasrat untuk mengemukakan perkara itu mengikut Perkara 76(A) Perlembagaan Persekutuan.

“Rang undang-undang persendirian itu akan meminta Perlimen meluluskan satu akta untuk membenarkan kerajaan negeri melaksanakan hukum jenayah syariah di Kelantan sahaja.

“Satu lagi rang undang-undang persendirian yang akan dibawa ialah bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa) 1965 supaya boleh menghukum sebagaimana peruntukan dalam Enakmen Hudud,” kata Ahmad Yaakob seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.

Lagi berita seperti ini :