Saya percaya Dahlia Abidi, penulis artikel “ Maaf Nik Aziz, kita tak perlu momok sekularisme lagi ” seorang yang terpelajar dan tajam pemikirannya.
Lihat sahaja latar belakang pendidikannya yang telah melengkapkan pengajian doktor falsafah (PhD) di sebuah institut politik di Paris.
Saya turut bersetuju dengan banyak hal yang beliau ungkapkan dan kemukakan.
Tetapi ada juga beberapa hal dari hujahan beliau yang saya kira tidak dapat memahami maksud sebenar Datuk Nik Aziz Nik Mat yang saya yakin banyak terpengaruh dengan kitab dan huraian klasik Islam.
Dahlia sewajarnya membuat perbandingan dan memberi contoh terlebih dahulu sebelum mengkritik Nik Aziz.
Saya kira ada beberapa hal yang hujahan beliau masih terperangkap dari sudut bahasa dan bukannya dari sudut epistemologi.
Konsep nasionalis yang dimaksudkan Nik Aziz bukanlah dalam konteks kenegaraan atau perkara yang terkait dengan nasionalisme liberal atau nasionalisme sivik.
Ini kerana nasionalisme sivik seperti yang dihujahkan oleh Joseph Ernest Renan sebagai daily plebiscite yang mana setiap ahli masyarakat tersebut having done great things together and wishing to do more dalam konsep keilmuan Islam klasik itu cenderung kepada konsep wataniyyah.
Apa yang Nik Aziz maksudkan dengan nasionalis itu ialah konsep assabiyyah yang cenderung qawmiyyah atau sikap perkauman yang suka menindas dan mendiskriminasi kaum lain.
Perangkap konsep kemalisme
Dalam erti kata lain, nasionalis yang dimaksudkan itu ialah konsep of the same blood yang melampau dan mementingkan persamaan bahasa, persamaan budaya serta amalan agama.
Ini seperti yang dicatatkan oleh Herodotus dan digemakan kembali oleh Johann Gotlieb Fichte. Justeru, salahkah pandangan Nik Aziz ini?
Tentang isu sekularisme pula, saya turut mengakui bahawa ia punya banyak varian dan ramai agamawan kita sebenarnya terperangkap dengan konsep kemalisme.
Ya, sekularisme (dalam konteks negara sekular) kini telah longgar dan tidak lagi bersifat memusuhi agama malah kian mesra serta menyantuni agama.
Ia berlaku adil terhadap kewujudan agama dan para penganutnya di dalam sesebuah negara.
Saya kira agamawan dan sarjana muda seperti Dr Asri Zainul Abidin dan beberapa orang lagi termasuklah yang berada di dalam PAS (yang tidak perlu disebutkan nama) mempunyai tafsiran tentang sekularisme dengan lebih jelas.
Dr Asri di dalam satu artikelnya mencatatkan:
“John L Esposito dalam The Oxford Encyclopedia of Islamic World bawah tajuk secularism mentafsirkan perkembangan Islamis di Turki sebenarnya bukan pertarungan antara Islamisme dan sekularisme, tetapi sebenarnya pertarungan dalam mentafsirkan konsep sekularism itu sendiri.”
“Ia antara versi Sekular Anglo-Amerika yang memberikan ruang kepada penglibatan agama dalam politik dibandingkan pemahaman Sekularisme Perancis yang bersifat keras terhadap agama dengan menganggap penglibatan agama akan mengancam social order.
“Maka, Esposito melihat Islamis di Turki itu berpihak kepada secularisme versi Anglo-Amerika.”
Kemanusiaan sekular
Maka saya percaya bahawa 33.3 peratus daripada maksud Nik Aziz tentang sekularisme itu adalah sifat sekularisme ala kemalisme yang sangat memusuhi agama.
Sekularisme ala kemalisme ini juga sangat bersikap nasionalis, ini dapat kita semua tenung melalui kaca mata sejarah negara Turki ketika kejatuhan Uthmaniyyah.
Ketika gerakan kemalisme memuncak, Islam telah ditindas dan segala budaya Arab termasuklah pengaruhnya terhadap bahasa dan amalan agama cuba dihapuskan.
Selain itu, 33.3 peratus lagi, saya kira apa yang dimaksudkan oleh Nik Aziz tentang sekularisme ialah peranan konsep tersebut sebagai program falsafah yang bertujuan mewujudkan kemanusiaan sekular ( secular humanism ), yang sekali gus mengancam akidah dan menghapuskan sama sekali peranan agama.
Sementara 33.3 peratus lagi yang berbaki yang saya kira dalam maksud Nik Aziz ialah halangan terhadap perlaksanaan undang-undang syariah seperti hudud dan qisas.
Persoalan ini amat panjang untuk dibicarakan dan saya percaya telah ramai para sarjana dan ulama membahaskan isu ini, maka saya kira wajar bagi saya untuk tidak membangkitkannya.
Maka varian nasionalis yang bersifat assabiyyah dan sekularisme yang bersifat memusuhi agama inilah yang saya kira wajar untuk kita terus menangkisnya.
Tetapi, senada dengan saudari Dahlia, saya menyeru semua agamawan agar menilai kembali konsep nasionalis dan sekularisme itu dari sudut yang berbeza dan tidak terperangkap dengan gaya klasik sekularisme Perancis dan nasionalisme-assabiyyah.
RIZUAN ABDUL HAMID, Alumnus Akademi Pak Sako – tulis, ubah, dunia.
