BERITA

Pemilihan AJK PAS ditangguh kepada esok

Radzi Razak

22 Nov 2013, 9:09 am

Dikemaskini 7 tahun lepas

A
+
A
-

Proses pengundian bagi memilih kepimpinan PAS bagi 2013-2015 bermula petang ini dan mendapat tumpuan penuh media dan masyarakat negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Asmuni Awi menyatakan proses pengundian untuk Timbalan Presiden, tiga naib presiden dan 18 ahli jawatankuasa PAS Pusat bermula jam 4 petang dan dijangka selesai pada 7 petang ini.

NONE Bagaimanapun, kira-kira sejam kemudian beliau menyatakan pengundian bagi AJK Pusat PAS ditunda keesokan harinya berikutan masalah teknikal.

Seramai 1,129 perwakilan layak mengundi dan keputusan rasmi hanya akan diumumkan oleh Asmuni ( kiri ) pagi esok.

Bercakap kepada media, Asmuni Awi menjelaskan, masalah teknikal hari ini melibatkan kesilapan mencetak nama bagi jawatan ahli jawatankuasa Pusat PAS.

"(Ada) satu nama ulang dua kali (pada kertas undi). Jadi esok kita guna sistem lama iaitu satu kertas ada 61 orang calon," jelasnya.

"Biar kita susah (untuk mengira). Kita tak nak berlaku lagi. Kita mengaku kesilapan dan kita nak pastikan semua pihak berpuas hati," tambahnya.

Katanya, proses pemilihan jawatankuasa PAS pusat akan berlangsung pada jam 8.15 pagi dan dijangka tamat pada jam 10 pagi.

Keputusan rasmi untuk kesemua jawatan yang dipertandingkan akan diumumkan sekali, dijangka petang esok.

Dua pendekatan berbeza

Dua calon 'panas' Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilihat mengambil pendekatan berbeza sejurus selepas membuang undi.

mat sabu pas youth agm 211113 01 Penyandang, Mohamad ( kiri ) yang lebih dikenali dengan 'Abang Mat Sabu' hanya tersenyum dan tidak mahu memberi banyak komen.

"Kita tunggu keputusan esok," kata beliau kepada Malaysiakini .

Penentang beliau, Nik Amar pula, dilihat lebih mesra dan yakin sesudah keluar dari bilik mengundi.

Nik Amar menyatakan bahawa tiada pergeseran antara beliau dan Mohamad atau sebarang konflik antara kumpulan ulama dan profesional seperti diwar-war di alam maya dan media massa.

NONE "Bagi saya, ia lebih kepada perbezaan pendapat dalam parti. Kita tak bersaing.

"Semua ahli sama ada ulama, profesional, aktivis dan lain-lain mempunyai peranan dalam parti," katanya ketika ditemui Malaysiakini .

Menurut Nik Amar ( kiri ), perbezaan itulah yang dipandang sebagai persaingan oleh orang luar.

"Ia umpama produk sama yang menggunakan bungkusan berbeza.

"Mungkin cara dan metodologi pemimpin berbeza tapi akhirnya ia bertujuan demi kepentingan PAS," katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.