Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dakwaan bahawa 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh turun mengundi dalam pilihan raya lalu mula ditimbulkan oleh penulis blog pro-Umno dan bukannya oleh pemimpin Pakatan Rakyat.
Katanya, beliau telah membuat semakan dan mendapati pemimpin Pakatan Rakyat tidak pernah membuat kenyataan seperti itu.
"Kita dah buat kajian, ada tak kenyataan begini? Tidak ada.
"Rupanya yang bawa (kenyataan) itu bloggers Umno.
"Kenyataan kita (adalah) memang ada pengundi luar," katanya pada sidang media di perkarangan Parlimen pagi tadi.
Anwar mengulas laporan akhbar hari ini berhubung kenyataan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina yang menafikan dakwaan bahawa 40,000 rakyatnya diterbangkan ke Malaysia untuk mengundi pada Mei lalu.
Anwar pada 2 Mei lalu hanya mendakwa bahawa Jabatan Perdana Menteri menjadi dalang satu operasi rahsia menerbangkan pengundi meragukan dari pelbagai lokasi di Sabah dan Sarawak ke semenanjung Malaysia hampir setiap hari menjelang hari pembuangan undi.
Menurut Anwar, PKR mempunyai senarai penumpang tersebut yang sebahagian besarnya adalah warganegara asing.
Menurutnya, menjelang hari mengundi pada 5 Mei sekurang-kurangnya 40,500 orang telah dibawa ke semenanjung menerusi hampir 16 penerbangan setiap hari.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun ketika membentangkan Bajet 2014 bulan lalu mengaitkan bahawa Pakatan Rakyat mendakwa 40,000 pengundi itu adalah pengundi Bangladesh.
Dakwaan mengenai 40,000 pengundi Bangladesh itu juga diulangi Najib ketika ditemuramah dalam satu program CNN.
Pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga dalam reaksinya awal bulan ini berkata tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang terus-menerus menafikan mengenai dakwaan tersebut sebagai satu helah untuk mengelak dari menjawab dakwaan penipuan dalam pilihan raya.
Ambiga berkata beliau sangat sangsi kerana isu tersebut terus dibangkitkan.
“Saya rasa ia satu helah supaya mereka tidak perlu menjawab dakwaan penipuan piliahn raya lain yang disokong bukti,” kata Ambiga.