Bekas Ketua Pemuda Umno, Datuk AHMAD ZAHID HAMIDI, yang kontroversi dan dahulunya dianggap orang kanan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bercakap mengenai perbezaan Datuk Seri Abdullah Badawi dengan Anwar, kesan pengaruh internet, saki-baki nepotisme dan pengalaman dalam tahanan ISA (akta keselamatan dalam negeri).
Dalam temubual bersama wartawan malaysiakini , Ng Boon Hooi dan 'Ein Azmi , Zahid kelihatan masih 'berhati-hati' untuk meluahkan segala yang tersirat di hatinya.
Apa ulasan Datuk terhadap perkembangan Internet?
Mengikut analisis saya, 90 peratus pengguna internet berada di bawah umur 30 tahun dan ini merupakan satu perkembangan baik. Tetapi saya khuatir penyalahgunaannya.
Kerajaan sedang merancang satu kod etika di kalangan pengguna tetapi apakah langkah itu sesuai?
Kerajaan sebenarnya berada dalam persimpangan jalan. Kita mahu rakyat melayari internet tetapi sukar menyekat anasir-anasir negatif dari luar. Undang-undang yang ada juga tidak memadai.
Nanti pengguna menuduh kerajaan bersikap double standard pula.
Saya setuju kod etika ditekankan supaya ada garis panduan tertentu sepertimana kita mengizinkan Astro dengan saluran terhad pilihannya.
Bagaimana pula pengaruh internet terhadap perkembangan politik negara baru-baru ini?
Saya melihat perkara ini secara objektif terutama apabila Laman Reformasi dilancarkan. Pada mula-mula diperkenalkan, laman ini mencapai sehingga 800,000 pelawat di seluruh dunia. Bagaimanapun tiga hingga lima peratus sahaja cerita yang disiarkan mempunyai asas yang kukuh.
Pengunjung tidak lagi berminat melawat laman itu kecuali kelompok-kelompok tertentu yang gemar melayari bahan-bahan berbentuk fitnah dan khabar-khabar angin.
Sebagai contoh, berita Dr. Mahathir jatuh dari kuda dan berada di Mekah tetapi kononnya tidak sampai ke Arafah. Berita itu tidak benar.
Pada penilaian Datuk, adakah amalan nepotisme dan kronisme masih berlaku dalam Umno?
Saya mula melontarkan isu ini atas tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda Umno ketika itu. Saya menerima maklum balas dari peringkat akar umbi. Nampaknya isu itu mendatangkan hikmah.
Ia meletup dan ada perubahan yang positif - kerajaan semakin menjurus ke arah ketelusan.
Pembangkang menuduh amalan nepotisme dan kronisme masih wujud. Tetapi badan-badan pemantau dan agensi-agensi kerajaan begitu aktif membendung amalan seperti ini.
Pada hemat saya, tidak ada elemen-elemen utama yang harus diketengahkan oleh pihak-pihak anti-establishment . Jika ada pun, ada sedikit saki-baki tetapi ia telah ditangani dengan baik oleh pucuk pimpinan.
Apakah Umno masih mahu mengekalkan corak kepimpinan lama sedangkan suara ahli yang menginginkan perubahan tidak dapat diketengahkan? Apakah benar wujud ketakutan di kalangan ahli Umno ini?
Perubahan dalam Umno sedang dirasai oleh ahli akar umbi. Kalau kita melihat senarai mereka yang bertanding, kebanyakannya muka-muka baru. Hampir 60 peratus daripadanya layak menganggotai Majlis Tertinggi.
Sementara hampir separuh pula tidak termasuk dalam kumpulan pentadbiran kerajaan.
Mereka ini akan memberi input baru. Mudah-mudahan perkembangan ini akan diterjemahkan sebagai isyarat yang dihasratkan rakyat terbanyak daripada Umno.
Sebagai seorang yang terlibat secara langsung mempelopori perubahan dalam Umno kini, saya tidak menongkah arus. Tetapi apabila kita sayang kepada parti, new blood harus ada supaya suara-suara baru ini dapat memberikan input sebenar dan mereka tidak bimbang kehilangan jawatan dalam kerajaan.
Bagi saya, persekitaran luar lebih mencabar daripada masalah dalam parti. Masa tidak sesuai untuk kita sekali lagi berpecah apabila sokongan Melayu telah mulai terhakis. Umno harus memperlihatkan kepada pihak luar bahawa ia tidak mementingkan pertandingan tetapi perpaduan.
Kerajaan dikritik oleh masyarakat dunia kerana terus melaksanakan undang-undang ISA. Berdasarkan pengalaman Datuk sebagai salah seorang tahanan akta itu, apakah ISA perlu diteruskan?
ISA cukup istimewa bagi saya (tersenyum). Semasa terkurung seorang diri, saya mula berfikir dan mula menghargai kebebasan. Apabila saya berada dalam dunia bebas ini, sebenarnya pendapat saya masih bebas, tetapi mesti ada garis-garis tertentu.
Suatu ketika dulu, pendapat saya dilahirkan secara terbuka. Ia bukan sahaja menyusahkan diri tetapi pucuk pimpinan Umno sendiri. Ada hikmah di sebalik ISA dan ia merupakan satu bentuk perlindungan bagi mengelakkan wujudnya ketegangan di dalam negara.
Kalau (anda) takut ISA, senang saja. Jangan langgar peraturan sedia ada. Cuba baca tujuan tersirat ISA. Kalau kita tidak salah, apa yang perlu ditakutkan?
Bagaimana Datuk melihat kepimpinan Datuk Seri Abdullah Badawi berbanding Datuk Seri Anwar?
Kita tidak boleh membandingkan dua tokoh ini seperti epal A dan epal B. Setiap tokoh ada kelebihan masing-masing. Realiti yang kita harus akui bahawa semasa Anwar memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau ditunjukkan oleh presiden parti sebagai tokoh yang akan mengambilalih pimpinan negara selepas Dr. Mahathir.
Kini Anwar tidak lagi berada dalam kancah politik negara kita. Kenyataan yang wujud ialah Pak Lah sebagai pemimpin nombor dua dalam negara.
Apabila saya sebutkan soal smooth transition (peralihan yang lancar), inilah hakikat yang harus kita terima. Pak Lah cukup bersedia jika beliau diberikan peluang meneruskan kepimpinan negara.
Tidak harus ada keraguan terhadap kemampuan Pak Lah kecuali beliau harus lebih bersabar kerana masa belum sampai untuk beliau berada di atas kepimpinan negara.
Pak Lah mempunyai banyak masa untuk membuat modification supaya Umno tetap releven dan Malaysia menuju ke arah negara maju suatu hari nanti.
