malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PKR persoal kaitan Awang Adek dengan ahli perniagaan ketika di BNM
Diterbitkan:  Jun 28, 2012 6:57 PM
Dikemaskini: 11:52 AM
ADS

PKR menuntut Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin menjelaskan hubungannya dengan pemilik syarikat penerima kontrak mencetak 100 juta keping wang kertas RM2.00 dari Bank Negara Malaysia (BNM) sewaktu beliau menjadi penolong gabenor bank pusat itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, keraguan itu timbul ekoran dakwaan terdapat beberapa transaksi kewangan kedua-dua pihak, termasuk penjualan rumah Dr Awang Adek di Kuala Lumpur dengan harga RM550,000.

Dalam satu kenyataan hari ini, Saifuddin yang juga anggota parlimen Machang juga mendakwa ahli perniagaan itu secara tidak langsung membayar penerbangan Dr Awang Adek antara Jun hingga Julai 1999.

Selain itu, Saifuddin juga menggesa Dr Awang Adek mengesahkan atau menafikan kesahihan dakwaan-dakwaan seperti berikut:

(1) Isteri Awang Adek membeli Honda Civic 1.6 menerusi ahli perniagaan itu, yang kemudiannya membayar ansuran bulanan sebanyak RM2,122.

(2) Ahli pernigaan itu membuat sumbangan kepada beberapa buah persatuan yang dinaungi Dr Awang Adek.

Saifuddin mendakwa kesemua transaksi itu didakwa dilakukan Dr Awang Adek semasa bertugas sebagai penolong gabenor BNM antara 1996 hingga 2001.

"Kes-kes ini seolah-olah menunjukkan, wujudnya hubungan rapat bekas penolong gabenor BNM dengan syarikat yang memperoleh kontrak jutaan RM dari BNM," dakwa Saifuddin lagi.

Menurut Saifuddin berkata, pihaknya memberikan tiga minggu kepada pemimpin BN itu untuk menjelaskan sebelum PKR terus mendedahkan dakwaan seumpamanya, yang didakwa masih banyak.

Sebelum ini timbalan menteri kewangan itu telah mencabar kerajaan negeri Kelantan dengan memberinya tempoh tiga minggu untuk menyiasat dakwaan penyelewengan dalam isu Dinar.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi Dr Awang Adek untuk mendapatkan komennya. Bagaimanapun tiada jawapan setakat ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!