Pengiklanan

K'jaan tubuh RCI siasat isu pendatang asing di Sabah

(Dikemaskini )

Kerajaan bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin di Sabah, demikian diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

    

NONE Beliau berkata kerajaan komited untuk menangani isu itu yang menurutnya mampu menjejaskan kesejahteraan dan keharmonian rakyat Sabah.

    

"Adalah diharapkan warga negeri Sabah akan mengambil manfaat daripada penubuhan RCI ini dan bersama-sama Kerajaan dalam mencari strategi dan pendekatan terbaik bagi menangani masalah berkaitan," katanya dalam satu kenyataan.

Najib berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan semua pihak.

    

"Jabatan Peguam Negara telah diamanahkan untuk mengemukakan cadangan Terma Rujukan (TOR) dan draf asas telah disediakan.

    

"Bagi memastikan perjalanan RCI kelak mengambil kira pandangan semua pihak, saya telah meminta Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada semua pihak berhubung draf awal TOR sebelum ia dimuktamadkan," katanya.

    

Perdana Menteri berkata penubuhan RCI tersebut merupakan manifestasi iltizam kerajaan dalam menjunjung prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

    

Dilaporkan, jumlah pendatang asing tanpa izin di Sabah dianggarkan menjangkau 500,000 orang.

- Bernama

Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

Tukar sekarang Tidak, terima kasih