Ada di kalangan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai dan DUN Guchil di dalam Parlimen Kuala Krai yang tidak bersetuju dengan pemilihan calon Umno di kedua-dua kerusi tersebut kerana tidak begitu dikenali oleh penduduk setempat.
Seorang penduduk yang ditemui, Othman Saufi, 30, percaya PAS akan berjaya mengekalkan DUN Guchil kerana mendakwa Umno kini dalam keadaan tidak sehaluan sesama sendiri.
"Berikutan itu, majoriti kemenangan PAS di sini juga mungkin meningkat, melihat kepada sokongan kepada calon PAS, Zulkifli Yacob," tambahnya.
Menurut beliau lagi, ramai penduduk di situ yang pada luarannya dilihat menyokong BN tetapi dalam diam-diam, mereka sebenarnya menyokong PAS.
Dua lagi kerusi DUN dalam Parlimen Kuala Krai ialah Dabong dan Mengkebang. Dalam pilihanraya umum 1999, PAS memenangi keempat-empat DUN berkenaan.
Ditanya mengenai khabar angin mengenai banyak markas BN dirobohkan, Othman berkata, setahunya hanya sebuah sahaja yang dirobohkan oleh penyokong BN sendiri kerana tidak berpuas hati dengan pemilihan calon BN bagi DUN Guchil, Dr Shamsul Ikhwan Ashaari Azmi.
Kerana itulah, katanya, terdapat seorang calon bebas, Mohd. Zaki Kassim, bertanding di DUN Guchil dari kalangan orang Umno sendiri yang tidak berpuas hati dengan pencalonan Dr Shamsul Ikhwan yang tidak begitu dikenali oleh penduduk setempat.
Lambang payung
"Inilah yang menyebabkan mereka berpecah dan menjadi tidak sehaluan sesama sendiri," tambahnya.
Mohd Zaki menggunakan lambang anak kunci manakala di Parlimen Pasir Mas, seorang lagi calon bebasm Datuk Ibrahim Ali menggunakan lambang payung. Penyokong Ibrahim juga dilihat berarak dalam pasukan konvoi bermotosikal membawa lambang payung.
Tinjauan malaysiakini di Kuala Krai juga mendapati, pemasangan poster dan bendera di situ masih giat dilakukan walaupun tempoh berkempen tinggal beberapa jam saja lagi.
Di Kampung Baru Sungai Durian pula, didapati anak-anak muda daripada PAS masih rancak memasang poster dan bendera pada tiang-tiang elektrik di tepi jalan dekat sini.
Antara kain rentang yang baru dipasang anak muda di situ berbunyi "Ambo ore Kelate, Ambo nok bule."
Menurut penduduk di situ, baru-baru ini penyokong kuat BN di kawasan mereka yang lebih dikenali sebagai Ramli Kura-Kura dari Kampung Ngor telah menyertai PAS bersama kira-kira 14 orang pengikutnya.
