malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saman Syabas terhadap MB S'gor capai penyelesaian
Diterbitkan:  Dec 7, 2011 3:38 PM
Dikemaskini: 7:42 AM
ADS

Saman fitnah berhubung program Tabung Budi yang dibawa Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mencapai penyelesaian.

Hakim Mahkamah Tinggi Amelia Tee Hong Geok Abdullah mencatatkan terma penyelesaian oleh kedua-dua pihak dalam kamar.

khalid ibrahim pc 171111 Peguam Firdaus Husni, yang mewakili Abdul Khalid, memberitahu pemberita bahawa kedua-dua pihak telah mencapai satu persetujuan bagi menyelesaikan perkara itu.

"Plaintif (Syabas) menarik balik tindakan itu. Hari ini kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menyelesaikan tindakan itu (saman)," katanya.

Peguam S Ravindran yang mewakili Syabas memberitahu pemberita bahawa perbincangan diadakan antara kedua-dua pihak berhubung penyelesaiannya pada Isnin apabila saman itu didengar di hadapan Hakim Amelia.

"Saman itu tidak akan diteruskan lagi, perkara itu telah selesai," katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan terma penyelesaian, dengan berkata ia adalah sulit.

Seorang lagi peguam Cheng Chang Chai berkata empat saksi plaintif telah memberi keterangan semasa perbicaraan, yang bermula pada 24 Nov, manakala defendan masih belum memulakan kesnya.

Syabas memfailkan saman terhadap Abdul Khalid pada Jan tahun ini, dengan mendakwa bahawa Abdul Khalid telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap syarikat dalam sidang akhbar pada 22 Nov tahun lalu berhubung program Tabung Budi.

Dalam kenyataan tuntutannya, Syabas berkata kenyataan fitnah dibuat Abdul Khalid diterbitkan dalam satu artikel bertajuk "Tarik Balik Lesen Syabas - Khalid", yang dikeluarkan Bernama pada hari yang sama, dan Harian Metro pada 23 Nov.

Syabas berkata kenyataan Abdul Khalid boleh membawa makna bahawa Syabas telah menipu orang ramai dengan program Tabung Budinya. Syarikat konsesi itu menuntut ganti rugi, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Abdul Khalid dalam kenyataan pembelaannya, berkata Syabas tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman fitnah kerana ia dibuat dalam satu majlis awam dan beliau tidak bertanggungjawab dengan laporan media yang diterbitkan oleh pihak ketiga.

- Bernama