malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Catatan wartawan tentang perhimpunan BERSIH
Diterbitkan:  Jul 31, 2011 1:59 PM
Dikemaskini: Aug 1, 2011 1:11 AM
ADS

Perhimpunan haram di ibu negara 9 Julai lepas adalah satu gambaran percubaan untuk mencabar institusi negara terutama polis untuk kepentingan politik pihak tertentu.

    

Perhimpunan haram itu, anjuran badan tidak berdaftar dikenali Bersih 2.0 kononnya bagi memperjuangkan sistem pilihan raya yang adil, diadakan tanpa menghiraukan nasihat serta amaran pihak berkuasa dan bantahan umum.

Sekumpulan wartawan Bernama ditugaskan di beberapa lokasi di sekitar ibunegara untuk melaporkan mengenai peristiwa itu.

    

Berikut catatan lima daripada mereka:

    

MOHD NOOR FIRDAUS MOHD AZIL

Lokasi: Stadium Merdeka dan Menara Maybank

Saya diarah membuat liputan di Stadium Merdeka bersama-sama tiga wartawan lain. Dalam perjalanan menuju ke sana dengan menaiki kenderaan Bernama, kami perhatikan jalan-jalan dikawal oleh polis trafik, termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Setiba di Jalan Stadium pada 8.30 pagi, kami melihat

kawat-kawat berduri didirikan dengan beberapa anggota polis berkawal. Wartawan perlu mendaftarkan diri sebelum dibenarkan masuk.

    

Setelah dua jam berlalu dan masih tidak ada apa-apa berlaku, saya dan seorang wartawan dari akhbar Utusan Malaysia mengambil keputusan untuk melihat kawasan sekitar.

    

Menyusuri Bulatan Merdeka, kami melihat sekumpulan penyokong BERSIH berjalan dengan langkah yang laju mengikuti lorong belakang bangunan menuju ke Jalan Petaling.

    

Kami mengekori mereka dan melihat kumpulan yang lebih besar.

Kemudian terdengar seorang berteriak "Kita tukar plan! Arahan atas suruh kita berkumpul di menara Maybank, kemudian kita bersurai."

    

Apabila 'crowd' tersebut memasuki Jalan Pudu, berdepan dengan kompleks membeli belah Kota Raya, keadaan menjadi huru-hara dan udara mula berbau seakan-akan sengit dan menusuk hidung (dipercayai akibat gas pemedih mata).

Dari situ, kami lihat, sekitar Menara Maybank kecoh apabila sekumpulan besar perusuh dikejar oleh sepasukan polis di bahagian tebing Menara Maybank.

    

Ketika itu, pasukan FRU bersiap sedia di simpang Jalan Tun Perak manakala kumpulan perusuh semakin ramai memenuhi jalan diketuai Chegu Bard (Badrul Hisham Shaharin daripada PKR) di depan kompleks perhentian bas Pudu Raya.

    

Hujan mula turun dan kemudian kumpulan perusuh melaung-laung "Allahu Akbar", "Reformasi", "Tumbang BN" dan "BN Zalim". Tiada laungan berkaitan memperjuangkan ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya seperti yang diuar-uarkan.

    

Selepas FRU memberi amaran tiga kali untuk bersurai, mereka melepaskan gas pemedih mata ekoran sikap degil dan keras kepala peserta demonstrasi yang enggan meninggalkan tempat itu.

    

Oleh kerana saya dan wartawan Utusan Malaysia berada di tengah-tengah, antara FRU dan penyokong demonstrasi, kami cuba berlindung di satu kawasan letak kereta tetapi asap tebal kemudian memenuhi tempat itu membuatkan kami berasa lemas.

    

Ketika itu, mata dan hidung mula terasa kepedihan dan berair, tekak terasa sengit dan ingin memuntahkan sesuatu, dan yang paling azab, kami tidak mampu bernafas dan berdiri dengan stabil.

Saya segera mencapai sebotol air mineral dalam beg saya untuk membasahkan baju dan menggunakan baju saya itu untuk membaluti muka saya. Air mineral itu saya beri kepada seorang anggota polis berpakaian preman kerana kelihatan dia juga mengalami kepayahan untuk bernafas.

Disebabkan saya tidak dapat melihat di mana rakan saya (wartawan Utusan), saya mengambil keputusan untuk berlari keluar dari kawasan itu dan masuk ke satu lorong kecil di mana beberapa orang menghulurkan garam dan air untuk dilumurkan ke muka bagi menghilangkan kesakitan akibat gas pemedih mata.

Apabila keadaan menjadi sedikit reda, hujan berhenti, dan saya keluar kembali untuk melihat situasi terkini.

    

Ketika itu saya lihat anggota polis mula menangkap beberapa perusuh yang cuba melakukan provokasi.

    

Kemudian, kelihatan Anggota Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham dari DAP dan Anggota Parlimen Subang dari Parti Keadilan Rakyat, R.Sivarasa, serta seorang lagi (kemudiannya saya dapat tahu beliau adalah Suhardi Mohd, orang yang polis kata berpura-pura mati) sedang berbincang dengan anggota polis untuk membenarkan perarakan menuju ke Stadium Merdeka.

    

Kali ini perarakan itu lebih besar apabila mereka dibenarkan polis, dan ia diketuai oleh Chegu Bard.  

Di Stadium Merdeka, kumpulan itu bertemu dan bergabung pula dengan perarakan pimpinan Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa.

    

Rundingan seterusnya diadakan dengan polis tetapi kali ini mereka tidak dibenarkan masuk ke kawasan stadium.

        

MOHD FAIZAL HASSAN

Lokasi: Hentian Puduraya

Saya dan seorang lagi rakan wartawan berselindung di celah premis perniagaan berdekatan Hentian Puduraya, tiba-tiba mata dan hidung saya sangat pedih dan saya sukar bernafas.

    

bersih rally 090711 police kick protestor story image Itulah pengalaman pertama kali saya terkena gas pemedih mata yang dilepaskan polis bagi menyuraikan peserta perhimpunan haram 9 Julai lepas.  

    

Kira-kira 10 minit selepas membersihkan diri dengan air garam, saya terus berlari ke kawasan tinggi bagi mendapatkan gambaran sebenar kenapa tiba-tiba gas pemedih mata dilepaskan.

Apa yang saya lihat adalah peserta perhimpunan yang rata-ratanya lelaki dewasa enggan bersurai walaupun FRU telah mengeluarkan amaran. Peserta perhimpunan berada kira-kira 50 meter dari anggota polis yang telah bersedia dalam barisan mereka menghadapi sebarang kemungkinan. Apa yang diperhatikan, tiada sebarang tindakan ganas polis terhadap mereka.

    

Gas pemedih mata dilepaskan ke kawasan yang tiada peserta berada. Asapnya  dibawa angin dan terkena peserta. Tembakan air tidak dibuat.  

    

Kejadian yang berlaku pada 1 tengah hari menyebabkan kumpulan perusuh bergerak menghampiri Bukit Bintang, namun berhenti berdekatan Hospital Tung Shin bagi berteduh kerana hujan.

NONE Saya mengambil kesempatan untuk membersihkan diri di

kawasan letak kereta hospital dan untuk bersolat.

Di kawasan itu, kelihatan seorang wanita dan dua budak lelaki masih kecil dan mereka seolah-olah sesat dan tidak tahu apa yang berlaku ketika ini.

Saya menyuruh wanita itu keluar dari kawasan itu dan pergi ke arah barisan FRU yang telah siap sedia berhampiran Jalan Bukit Bintang supaya bagi perlindungan.

    

Tepat jangkaan saya, kerana selang beberapa minit selepas itu, kumpulan perusuh cuba bergerak ke kawasan Jalan Bukit Bintang dari arah hospital namun berjaya dihalang FRU.

    

FRU bertindak bijak dengan menggunakan SOP mereka seperti mengeluarkan amaran sebelum mula bertindak dengan melepaskan gas pemedih mata dan tembakan air kepada peserta di jalan raya.

Kerana hujan, asap gas pemedih mata dibawa angin ke kawasan hospital. Kumpulan perusuh kemudian dilihat meninggalkan kawasan itu dan menggunakan laluan lain ke Jalan Bukit Bintang.

    

NONE Kumpulan itu kemudian tiba berhampiran Hotel Istana sebelum menuju ke KLCC dan di sini, selepas hampir 20 minit

berkumpul, menjerit, melaungkan pelbagai cemuhan terhadap kerajaan, barulah polis tiba.

FRU sekali lagi menggunakan SOP mereka dan kali ini berjaya menahan ramai perusuh manakala yang lain melarikan diri ke dalam KLCC, dan ke Jalan Yap Kwan Seng dan sekitarnya.

Ketika ini saya terlihat sebuah ambulans, dan pada hemat saya, mungkin ada peserta yang cedera sebelum kenderaan itu dilihat keluar ke Jalan Ampang mungkin menuju ke Hospital Kuala Lumpur.

Kemudian saya pulang ke pejabat dan selang beberapa jam selepas itu, dilaporkan seorang peserta mati di kawasan KLCC akibat sesak nafas.

Ketika beberapa tempat di sekitar ibu kota dikatakan mulai kecoh dan polis mula menangkap perusuh, kawasan sekitar Bukit Bintang Walk masih lengang dan wakil media termasuk dari Bernama TV, TV Al-Hijrah, Astro Awani, Utusan Malaysia dan Berita Harian sudah berhimpun di situ sejak 9 pagi.

Lebih kurang pukul 1 tengah hari, kumpulan Patriot muncul dan mula mengedarkan T-shirt merah sebelum ketibaan pemimpin tertinggi mereka, Pengerusi Pemuda Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin dan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim kira-kira 30 minit kemudian.

    

Khairy dalam ucapan ringkasnya berkata tindakan kumpulan itu bukanlah semata-mata mahu menyertai demonstrasi jalanan sebaliknya sebagai satu protes terhadap pihak yang cuba mencetuskan kekacauan dalam negara.

    

"Kita adalah barisan hadapan berkumpul secara aman untuk mempertahankan pemimpin kita dan keamaman negara. Perhimpunan haram hari ini adalah agenda pembangkang yang berselindung di sebalik Bersih yang bukan untuk bersih (pilihan raya) tetapi untuk mengguling kerajaan," kata Khairy.

Kumpulan Patriot seramai 500 anggota dilihat bersemangat menuju ke Stadium Merdeka sambil menyanyikan lagu "Inilah Barisan Kita" sementara polis telah bersiap sedia untuk menghalang mereka.

Terdahulu, sebelum Patriot muncul, satu kumpulan juga dianggarkan 500 orang  yang dipercayai dari Bersih, berarak dari Jalan Imbi menuju ke Stadium Merdeka yang membuatkan kumpulan media yang berada di sekitar itu kecoh dan terkeliru mengekori mereka sehingga ke Jalan Pudu.

Di hadapan sebuah hotel di Jalan Pudu, pasukan FRU sudah mula berkumpul bersedia dengan perisai dan kenderaan meriam air.

    

NONE Polis telah memberi amaran kepada peserta Himpunan Patriot supaya mereka bersurai secara aman, namun amaran itu tidak diendahkan malah mereka melaungkan "Hapus Bersih", "Hidup Rakyat", "Hidup Malaysia".

    

Oleh kerana arahan polis tidak dipatuhi, pasukan keselamatan terpaksa menembak gas pemedih mata ke arah mereka.

    

Polis kemudian menahan Khairy, Abdul Azeez bersama penolong setiausaha Pemuda Umno Datuk Megat Firdaus Megat Junid dan Exco Pemuda Umno, Lokman Adam.

    

Keadaan kelihatan terkawal pada 3.30 petang apabila Himpunan Patriot mula bersurai.

    

Polis juga mengarahkan semua pihak meninggalkan kawasan itu tetapi kerana tugas belum selesai, saya dan rakan-rakan media lain masih berada di situ sehingga 4 petang.

    

ZULHILMI SUPAAT

Lokasi: Ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur

    

Beberapa pemimpin penganjur perhimpunan haram dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) bagi tujuan soal-siasat, mengaku mendapat layan baik daripada polis.

    

ipd kl bersih 090711 crowd Penganjur perhimpunan, Datuk S.Ambiga yang ditahan pada 2.30 petang di KL Sentral dan dibebaskan pada 6.30 petang, mengakui beliau sendiri mendapat layanan baik sepanjang tempoh ditahan.

Beliau kelihatan ceria ketika keluar dari pintu utama IPKKL dan kemudian memberitahu pemberita bahawa dia berpuashati dengan layanan polis terhadap para penyokong yang ditahan di Pulapol kerana diberikan kemudahan makan dan tempat bersolat.

    

Malah beliau juga terperanjat bila diberitahu penyokong yang ditahan di Pulapol diberikan menu nasi beriani.

    

"Di IPKKL tiada nasi beriani tetapi saya dilayan baik semasa sesi soal siasat yang mengambil masa 45 minit. Saya tiada komplen mengenai layanan polis," katanya.

    

Presiden     PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ditahan di IPPKL dibebaskan pada 7.30 malam, dan terus dihantar polis ke rumahnya dekat Sentul.

    

Hampir 100 penyokong parti itu yang berada di situ tidak berpuashati kerana tidak diberikan peluang bertemu pemimpin mereka menyebabkan ada segelintir yang memaki hamun anggota polis yang berkawal di pintu IPKKL.

    

Keadaan hanya tenang selepas penolong setiausaha agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang turut berada di situ, membuat beberapa panggilan telefon dan kemudian mengesahkan Abdul Hadi dihantar polis terus ke kediamannya.

        

ZURIATI ZULMI

Lokasi: Kompleks Sogo, KLCC, Stesen KTMB, Menara Maybank

Saya ditugaskan meninjau di tiga kawasan iaitu Kampung Baru, Maju Junction dan sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman.

    

NONE Ini adalah kali pertama saya membuat liputan perhimpunan

haram seperti ini. Dalam hati, rasa gementar, takut-takut kalau keadaan menjadi tidak terkawal dan saya terfikir juga mengenai situasi di luar negara di mana mereka yang berhimpun adakalanya bertindak luar biasa.

    

Dari Jalan Tun Razak menuju ke Jalan Ampang, kelihatan anggota polis berkawal di beberapa lokasi menjaga lalu lintas untuk membantu orang ramai supaya tidak terperangkap dalam kesesakan.

Ketika melalui kawasan sekitar Jalan Bunus pada 10 pagi, ternampak kumpulan kecil peserta perhimpunan di situ seolah-olah menunggu arahan untuk tindakan selanjutnya.

    

Di kompleks beli belah Sogo, kawasan sekitarnya tenang dan kira-kira  pukul 10.30 pagi, saya diarah meninjau kawasan KLCC kerana dikatakan sudah ada gas pemedih mata dilepaskan di situ. Setiba di sana, saya dapati ia hanyalah khabar angin.

    

Kira-kira 12 tengah hari, melalui walkie-talkie, saya mendengar rakan setugas menyatakan suasana di Stesen KTMB mulai "panas" apabila berlaku kekecohan.

    

Tiba di sana, saya lihat polis telah membuat tangkapan dan walaupun ada provokasi melampau dan tindakan agresif daripada perusuh yang melemparkan kata-kata kesat kepada polis, mereka kelihatan tenang menangani situasi sebegitu.

    

Polis didapati tidak menggunakan kekerasan melampau ke atas tahanan. Cara mereka bertanya nama dan memeriksa kad pengenalan juga masih sopan santun walaupun ada ketegasan sebagai anggota polis. Bagi wanita pula, ada anggota polis wanita yang ditugaskan untuk mengendalikan mereka.

Selepas keadaan terkawal di Stesen KTMB, kawasan sekitar Pasar Seni pula mula dipenuhi manusia. Dari bangunan Dayabumi, saya dapat lihat ribuan peserta sudah mula bergerak menuju ke Dataran Merdeka.

Di situ, polis memberi amaran supaya mereka bersurai tetapi tidak dihiraukan malah mereka mula menjerit-jerit melaungkan "Allahu Akbar" dan "Reformasi".

Bukan sahaja arahan tidak dipatuhi, perusuh dilihat begitu berani membuat provokasi terhadap polis memaksa polis melepaskan gas pemedih mata.

    

Kira-kira pukul 1.30 tengah hari dan cuaca menjadi panas terik, saya pula kehabisan air. Apabila melintas di hadapan kedai 7-Eleven, saya dapati pintunya ditutup dengan kotak-kotak diletakkan di pintu supaya tidak dapat ditolak dari luar. Saya cuba meminta supaya dibekalkan air mineral tetapi seorang petugas di kedai itu enggan membukanya.

    

Saya kemudiannya cuba ke restoran dalam bangunan Dayabumi. Pintu kedai itu juga disendal dengan kayu walaupun terdapat orang yang sedang makan di dalamnya.

Dua kali saya melintas kedai itu tetapi pintu tidak dibuka, akhirnya saya mengetuk pintu meminta mereka membekalkan saya air. Syukur saya dapat juga masuk ke restoran itu, beli air mineral untuk simpanan.

    

Kira-kira pukul 2 petang, berdasarkan maklumat yang diterima, saya bersama seorang jurugambar, bergerak ke Menara Maybank. Apabila tiba di sana, FRU telahpun melepaskan air dari meriam air dan gas pemedih mata.

    

Saya agak terkejut melihat situasi di situ kerana kumpulan penyokong BERSIH sangat ramai dan mereka bertindak melampau tanpa mengendahkan arahan polis untuk berundur dan bersurai.

    

Saya dapat lihat polis mengejar perusuh yang cuba mencabar polis. Beberapa orang yang ditangkap juga dilihat cuba bertindak kasar terhadap anggota polis. Ketika saya cuba menghubungi ibu pejabat untuk memberi maklumat mengenai situasi di situ, tiba-tiba polis melepaskan gas pemedih mata menyebabkan saya dan rakan yang lain bertempiaran lari.

    

Tidak lama kemudian hujan turun dengan lebat dan saya bersama rakan wartawan berteduh berhampiran sebuah restoran di kompleks Kotaraya.

    

Apabila hujan berhenti sekitar 3 petang, kumpulan perusuh yang tadi lari bertempiran kembali keluar dari tempat perlindungan dan ada yang menjadi "penghasut" menjerit mengajak semua yang ada menuju ke Stadium Merdeka.

    

Kumpulan itu berkumpul semula di jalan raya dan bergerak ke arah Stadium Merdeka sambil melaungkan "Allahu Akbar" dan "Reformasi".

    

Kami wartawan juga mengikuti pergerakan kumpulan itu tetapi apabila berhampiran selekoh di Stesen LRT Pasar Seni, tanpa disedari, polis telah melepaskan gas pemedih mata. Kami sempat melarikan diri sebelum terkena gas pemedih mata.

    

Kemudian polis melepaskan tiga lagi gas pemedih mata kerana perusuh tidak mahu bersurai. Keadaan menjadi reda pada 4.15 petang.

    

Saya ingin katakan bahawa dalam ketegasan ada juga sifat kemanusiaan di pihak berkuasa kerana mereka tidak sewenang-wenangnya menggunakan gas pemedih mata.

    

Beberapa ambulans juga kelihatan berada di kawasan berhampiran untuk memberi bantuan kepada mereka yang menghadapi masalah jika terkena gas pemedih mata.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!