Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak mahu isu penggunaan masjid untuk kepentingan politik pihak tertentu dibesar-besarkan. Pengarahnya Mansur Ramli berkata tidak sampai 10 orang pegawai masjid di negeri itu dipecat sebelum dan selepas pilihanraya. Pemimpin-pemimpin kerajaan pusat dan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional mula membangkitkan isu ini selepas Umno menerima kekalahan yang buruk dalam pilihanraya November lalu. Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagaimanapun bercadang menemui Menteri Besar dan Ketua Menteri setiap negeri bagi membincangkan isu "penggunaan masjid untuk kepentingan politik" bulan depan. Sementara Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paduka Dr Abdul Hamid Othman berkata pertemuan yang akan diadakan itu dianggap penting kerana "kerajaan pusat selama ini tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan masjid." Kerajaan sebelum ini sering menuduh parti pembangkang, khususnya PAS, menggunakan masjid untuk menyampaikan khutbah dan ceramah politik parti itu. Manakala parti Islam itu menganggap kerajaan cuba menghalang kritikan - atau tugas amar ma'ruf nahi munkar yang diwajibkan oleh Islam - disampaikan melalui khutbah. "Saya tidak tahu sama ada serius atau tidak," kata Mansur kepada malaysiakini apabila ditanya bilangan sebenar kes-kes penggunaan masjid untuk tujuan politik di Selangor. Bagaimanapun menurut beliau, kebanyakan kes berlaku di Lembah Kelang. Menurut seorang pegawai kanan JAIS yang tidak mahu dikenali, pegawai masjid pernah diambil tindakan - dipecat oleh jabatan itu - kerana tidak membaca khutbah mengikut teks yang telah disediakan oleh jabatan itu. Menurutnya lagi, JAIS mensyaratkan agar semua teks khutbah mestilah mematuhi undang-undang negara dan tidak "menyentuh mana-mana pihak." Sementara PAS pula mengkritik peraturan menyampaikan khutbah yang ditetapkan oleh kerajaan. "Apa yang berlaku sekarang ialah imam 'membaca' khutbah bukannya 'berkhutbah'," kata Exco Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri Terengganu, Harun Taib kepada malaysiakini . Beliau, yang juga Ketua Dewan Ulama PAS, menafikan masjid-masjid di negeri itu dijadikan alat parti politik pembangkang. Menurutnya, sebelum ditadbir oleh PAS, segala urusan masjid termasuk teks khutbah dikawal oleh kerajaan negeri yang diperintah oleh BN. Timbalan Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin, berkata kawalan dan penyelarasan masjid wajar mengikut kehendak Islam dan bukannya kepentingan politik individu tertentu. Menurutnya, semua pihak perlu bersetuju bahawa institusi perpaduan umat Islam itu ditadbir menurut landasan syariat Islam sepenuhnya. "Ketika menyampaikan khutbah, adakalanya khatib menegur pihak-pihak tertentu,"katanya. Perkara ini tidak harus dianggap sensitif kerana 'siapa makan cili, dialah yang terasa pedas,' jelasnya lagi.
