malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
3 Felda bakal jadi tumpuan di Kerdau
Diterbitkan:  Feb 19, 2011 7:41 PM
Dikemaskini: 11:42 AM
ADS

Tiga buah rancangan Felda di DUN kawasan Kerdau bakal menjadi tumpuan utama parti-parti politik yang akan bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu, bulan depan.

Hampir separuh daripada pengundi kawasan DUN berkenaan terdiri di kalangan penduduk di tiga buah felda - Felda Jengka 22, 23 dan 24.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam telah menetapkan pilihan raya kecil kawasan berkenaan diadakan serentak dengan pilihan raya kecil DUN Merlimau, Melaka, pada 6 Mac ini, manakala tarikh penamaan calon bagi kedua-dua pilihan raya kecil itu ditetapkan 26 Februari ini.

Menurut Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, kawasan DUN Kerdau mempunyai 8,999 pemilih berdaftar, termasuk 8,984 pemilih biasa dan 15 pemilih pos.

Pilihan raya kecil DUN Kerdau diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim akibat serangan jantung pada 12 Februari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum 2008 menyaksikan Zaharuddin dari BN menewaskan calon PAS, Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

Menurut Ketua Umno Bahagian Kuala Krau, yang juga anggota parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said, berdasarkan rekod parti berkenaan, terdapat lebih 4,000 pengundi menetap di tiga kawasan Felda berkenaan.

"Pengundi-pengundi lain menetap di 33 buah kampung lain di kawasan DUN itu dan satu kawasan perkampungan Orang Asli di Kampung Paya Sendayan Kerdau," katanya.

Beliau berkata semua 28 cawangan Umno di bahagian berkenaan telah diarah menggerakkan jentera pilihan raya untuk mengenal pasti pengundi di kawasan berkenaan.

Ketua Umno cawangan Kerdau, Hassan Mohd Amin, berkata jentera cawangan parti itu telah pun mula bergerak dan program bersepadu hanya dijalankan selepas penamaan calon nanti.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata Umno bahagian Kuala Krau turut mengalu-alukan pelantikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, sebagai pengarah pilihan raya BN pada pilihan raya kecil itu.

"Kita yakin kepimpinan dan pengalaman Menteri Besar Pahang akan dapat memimpin jentera pilihan raya BN dan UMNO untuk mempertahankan kerusi DUN Kerdau," katanya.

Ketua MCA Kerdau, Ah Chok, pula berkata perlantikan Adnan dilihat akan menguatkan lagi jentera parti dan MCA kini telah bersiap sedia sepenuhnya bagi memastikan kemenangan calon BN.

"Bagi kira-kira 1,000 penduduk Cina di Kampung Baru Kerdau, mereka dilihat tidak mempunyai masalah untuk memilih calon BN...apa yang penting mereka mahu prasarana sedia ada dipertingkatkan," katanya.

Ketua MIC Kerdau M Sosai pula berkata masyarakat India di kawasan berkenaan dilihat tidak bermasalah untuk terus memberikan kepercayaan kepada calon BN dan berharap kebajikan mereka terus diberi perhatian oleh kerajaan BN.

Sementara itu, Batin Asli Kampung Paya Sendayan, Abdul Rashid Ali, turut memberi jaminan bahawa masyarakat Orang Asli akan terus memberi sokongan dan mengundi calon BN.

"Kerajaan jangan curiga kepada kami, sekalipun kami kaum minoriti, kami tetap mengenang budi dan jasa kerajaan, malah akan mengundi dan menyokong kerajaan," katanya.

DUN Kerdau mempunyai 8,999 8,721 berdaftar dan daripada jumlah itu 88.36 peratus adalah pengundi Melayu, 3.6 peratus Cina, 3.4 peratus pemilih India dan selebihnya kaum-kaum lain.

--Bernama