malaysiakini logo
story-image
ADS

Tindakan presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail menyifatkan ketua umum parti itu sebagai satu 'anugerah Tuhan' minggu lalu, hari ini menjadi bahan ketawa di Konvensyen BN pula apabila isu tersebut disentuh dalam ucapan dasar pengerusinya,Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah Najib mengaitkannya pula dengan “drama songsang" yang dipercayai ditujukan kepada ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

NONE "Ya, kita faham kesetiaan dan kekaguman seorang isteri terhadap kehebatan suaminya itu," kata Najib yang sengaja mengulangi dan menekankan perkataan "kehebatan" itu dalam ucapannya sehingga menyebabkan para perwakilan ketawa.

"Namun rakyat Malaysia ingin bertanya, berdasarkan nas atau hadis mana pendapat itu boleh dibuat?

"Berbekalkan justifikasi hukum atau istinbat mana sehingga pernyataan begini sanggup dikeluarkan?

"Adakah ini ijtihad baru atau lebih tepat sebenarnya satu ajaran songsang. Cukup-cukuplah sandiwara dan drama yang songsang-songsang itu," kata Najib lagi yang turut meminta rakyat supaya tidak dipengaruhi perkara "karut-marut" seperti itu.

'Tentang PKR habis-habisan'

Najib juga berkata PKR yang disifatkannya sebagai "Parti Keluar Ramai-ramai" merupakan parti yang kehilangan sokongan massa.

"Ramai pemimpin utama mereka sendiri yang telah keluar dari parti antara lain ialah timbalan presiden, naib presiden, setiausaha agung, ketua pemuda, naib ketua pemuda... Panjang senarai ini, bagi saya minum dulu," katanya lagi

NONE Dalam berlucu, Najib bagaimanapun tetap mengingatkan supaya anggota parti itu mengawasi tindakan para pemimpin PKR.

"Mereka ini amat-amat berbahaya. Mereka sanggup menjual apa sahaja, termasuk memburukkan nama Malaysia di luar negara.

"Mereka ini anti-nasional. Kita mesti tentang habis-habisan dan pastikan negara ini tidak akan diporak-perandakan oleh kegiatan durjana mereka," tambahnya.

Najib berkata Pakatan Rakyat juga cuba meniru kerjasama dalam BN tetapi tidak berhasil kerana sikap talam dua muka yang ditunjukkan pemimpinnya.

"Gagasan Rakyat, Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat atau atas nama apa pun yang dicipta adalah hanya percubaan pembangkan yang hendak bersatu tetapi tidak mungkin berkekalan kerana masing-masing bersikap talam dua muka," katanya lagi.

Jelasnya, kerjasama di antara PAS dan DAP hanya kelihatan "seolah-olah bersatu" disebabkan wujudnya pihak ketiga.

"Kalau dulu parti Melayu Semangat 46, hari ini peranan tersebut diambil alih PKR. Sejarah jelas menunjukkan kerjasama seumpama ini tidak akan berpanjangan kerana matlamat mereka hanyalah untuk menipu atau menyeleng rakyat," katanya lagi.

Najib turut mempertikaikan penjawatan bagi kedudukan tertinggi dalam PKR yang didakwa tidak menunjukkan demokrasi di dalam parti itu.

"Daripada barisan tujuh orang kepemimpinan tertinggi mereka, hanya seorang sahaja yang mewakili kaum Cina. Orang India yang membentuk keahlian kedua terbesar dengan lebih satu perlima ahli, tidak mempunyai seorangpun perwakilan di peringkat tertinggi parti," katanya.