malaysiakini logo
story-image
mk-logo
News
Mahathir: Bantuan perkapita tidak akan disambung semula
ADS

Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengulangi bahawa kerajaan tidak akan meneruskan bantuan perkapita kepada sekolah agama rakyat yang dihentikan sejak tahun lepas.

Kenyataan itu bercanggah dengan jaminan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa pihak SAR boleh memohon semula bantuan itu, sewaktu berdebat dengan timbalan ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob, Ahad lalu.

Malah, Nazri yang juga ahli Parlimen Chenderoh, menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah berniat untuk menutup SAR dan langkah memberhentikan bantuan perkapita bersifat sementara.

Sebaliknya, Dr Mahathir hari ini mengulangi bahawa kerajaan tidak akan meneruskan bantuan perkapita kepada sekolah agama rakyat yang dihentikan sejak tahun lepas.

Sebaliknya kerajaan akan mengkaji semula isi kandungan pelajaran agama Islam dan modul baru ini akan diajar kepada pelajar sekolah kebangsaan, kata Dr Mahathir kepada pemberita setelah mempengerusi mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Kuala Lumpur hari ini.

"Kami tidak akan memberi bantuan kepada sekolah agama rakyat. Yang kita utamakan ialah pelajaran agama Islam dan ia akan disampaikan kepada murid sekolah kebangsaan.

Ajaran sampingan

"Kita perlu mengkaji semula kandungan pelajaran agama Islam kerana kita dapati kebanyakannya tidak memberi tumpuan atau tekanan dalam ajaran yang sebenarnya, yang disampaikan kepada murid kita. Dengan itu anak-anak kita, apabila dewasa, tidak dapat manfaat sepenuhnya dari ajaran Islam yang diajar," katanya.

Dr Mahathir berkata kerajaan mendapati mata pelajaran Islam juga tidak mempunyai "asas" kerana ia gagal memberi tumpuan kepada ajaran asas mengenai Islam tetapi lebih menyentuh kepada ajaran sampingan seperti cara pemakaian.

"Umpamanya, tumpuan diberi dalam hal pakaian, sama ada warna putih atau hitam. Itu menjadi lebih utama dari ajaran yang datang dari ibadat-ibadat yang diwajibkan," katanya lagi.

Ditanya sama ada kerajaan akan mencontohi modul pengajaran pengajaran Islam negeri Johor, Dr Mahathir berkata, kerajaan bersikap terbuka dan akan mengkaji semua aspek, termasuk pendekatan yang dipraktik di Johor.

Apa yang penting, katanya, ialah kandungan pelajaran Islam itu, kerana kerajaan mahu memastikan ianya lebih menekan kepada pembentukan peribadi Islam dan kehidupan secara Islam kepada para pelajar.

Beliau juga mendakwa modul pelajaran agama Islam sekarang cetek dan para pelajar hanya didedahkan kepada tafsiran yang cetek.

Bantahan

"Sepatutnya, bila kita belajar agama, kita akan menjadi manusia yang baik dan berjaya. Sebagai contoh, ada yang menyebutkan tentang azan di mana umat Islam diseru bersembahyang dan menuju kejayaan.

"Kejayaan bermakna kejayaan dalam kehidupan kita. Tapi orang ini mentafsirkan kejayaan dengan cara yang cukup terhad...iaitu kejayaan bersembahyang. Sebenarnya kita disuruh mencapai kejayaan dalam kehidupan kita...tapi itu tidak diberi tekanan," katanya lagi.

Pada 25 Okt tahun lalu, Dr Mahathir mengumumkan bahawa kerajaan akan memberhentikan bantuan perkapita kepada SAR kerana mendapati mereka tidak mengajar agama Islam yang betul.

Tidak lama kemudian, Kementerian Pendidikan pula menyatakan bahawa semua guru dan pelajar di SAR akan diserapkan ke sekolah kebangsaan.

Sejak itu, banyak pihak termasuk Gerakan Bertindak Umat Selamatkan SAR (Gegar) telah

menyuarakan bantahan terhadap keputusan kerajaan itu dan berpendapat sistem pendidikan SAR perlu dipertahankan.

Kini terdapat lebih 260 SAR di negara ini, membabitkan 74,000 pelajar peringkat rendah dan menengah. Sehingga ini, kira-kira 14,000 pelajar SAR telah beralih ke sekolah kebangsaan.