Seorang pemimpin Umno di Kedah berpendapat kerajaan tidak sepatutnya menghentikan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) kerana ia akan turut merugikan sekolah-sekolah yang diterajui oleh penyokong kuat kerajaan.
Pemangku ketua Umno Bahagian Baling, Ismail Abu Bakar, menyifatkan tindakan kerajaan menyamakan SAR sebagai agen penghasut adalah kurang tepat kerana terdapat juga SAR yang dikendalikan oleh ahli Umno.
"Sebagai contoh, Sekolah Menengah Raudatul Atfal di Bongor di sini (Baling) adalah di bawah selian ahli lembaga sekolah yang terdiri dari penyokong kuat kerajaan," katanya kepada malaysiakini ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terbaru berhubung isu SAR. Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak akan menutup SAR, tetapi tidak akan lagi memberikan bantuan kewangan kerana institusi tersebut didapati menghasut pelajar untuk menentang kerajaan.
Kenyataan itu dianggap mencerminkan langkah kerajaan yang terpaksa berlembut berikutan penentangan pelbagai pihak, termasuk dari kalangan Umno sendiri yang akan turut terjejas sekiranya SAR ditutup.
Sehubungan itu, Ismail menegaskan bahawa tindakan memberhentikan bantuan kepada SAR yang dikendalikan oleh penyokong kerajaan adalah sesuatu yang merugikan.
