malaysiakini logo
story-image
mk-logo
News
Siasatan kes Perwaja selesai: Chor
Published:  Oct 24, 2002 9:07 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM
ADS

Siasatan polis terhadap terhadap Syarikat Perwaja Steel Sdn Bhd yang dilaporkan mengalami kerugian RM2.5 bilion akibat penyelewengan telah selesai dan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

Bernama memetik Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Chor Chee Heung, sebagai berkatla, perkara itu baru sahaja dimaklumkan polis kepadanya.

"Siasatan ini mengandungi begitu banyak sekali dokumen dan mereka (polis) harus meneliti dokumen demi dokumen, baru siap siasatan," katanya.

Ketika berucap menggulung perbahasan Bajet 2003 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri di sidang Dewan Rakyat hari ini, Chor bagaimanapun berkata siasatan itu perlu dikemaskini dan setelah mendapat rumusan, ia akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

Selain siasatan polis menerusi Jabatan Siasatan Perdagangan, kes Perwaja turut disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR).

"Badan Pencegah Rasuah difahamkan sedang menyiasat dalam aspek berlainan, saya tidak dapat jawab bagi pihak BPR," katanya.

Bukti kukuh

Sebelum ini, Switzerland telah diminta oleh kerajaan Malaysia membantu siasatan kegiatan jenayah kewangan membabitkan rakyat negara ini, terutama dalam kes Perwaja yang sebahagian dananya disyaki dimasukkan ke dalam akaun bank di negara berkenaan.

Sementara itu, Chor berkata polis memerlukan masa yang panjang ketika menyiasat kegiatan jenayah korporat dan jenayah digital bagi mendapatkan bukti kukuh supaya seseorang itu tidak dizalimi tanpa bukti kukuh.

Menurutnya, siasatan jenayah korporat juga sering menghadapi masalah, terutama bagi mendapatkan saksi dan dokumen yang kadangkala berada di luar negara. Bagaimanapun, katanya, polis mampu menyiasat jenayah korporat, dengan diketuai pegawai yang berkelayakan tinggi dalam bidang seperti jenayah, pentadbiran perniagaan dan perakaunan.

Ketika ditanya oleh pemberita di luar dewan, sama ada polis telah membuat siasatan terhadap bekas Pengarah Urusan Perwaja, Tan Sri Eric Chia, Chor berkata: "Sesiapa yang dirasakan perlu dipanggil, dipanggillah."


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.