malaysiakini logo
story-image
mk-logo
News
Kelantan tidak sekat hiburan, kata Nik Aziz
Published:  Oct 2, 2002 10:04 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM
ADS

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kerajaan negeri tidak menyekat kegiatan hiburan kerana setiap manusia memerlukan hiburan dan hiburan juga dibenarkan oleh Islam.

Menurut laporan Bernama , beliau berkata apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri ialah mengawal persembahan hiburan melalui Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 agar ia tidak bercanggah dengan kehendak Islam dan merosakkan moral masyarakat.

"Permohonan Karyawan (Persatuan Karyawan Malaysia) supaya mereka boleh beroperasi di Kelantan...artis lelaki boleh tetapi kena ikut syarat-syarat yang ditetapkan," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil Karyawan di pejabatnya di sini hari ini.

Pertemuan itu diadakan berikutan pengumuman kerajaan Kelantan pada 18 September lalu yang tidak membenarkan persembahan kumpulan rock dan pop, terutama yang membabitkan artis wanita, di negeri itu.

Bagaimanapun, hari ini, Nik Aziz berkata kerajaan Kelantan juga membenarkan persembahan artis wanita.

Bagaimanapun, katanya persembahan itu khas untuk penonton wanita di tempat tertutup dan artis yang membuat persembahan mesti mematuhi syarat-syarat lain yang ditetapkan.

Antara bukti kerajaan negeri tidak menyekat hiburan ialah bahawa persembahan dikir barat dan nasyid dibenarkan di negeri ini, kata Nik Aziz.

Melonggarkan syarat

Beliau tidak mahu hiburan hanya difokuskan kepada nyanyian dan tarian kerana ia boleh menyempitkan pengertian hiburan yang terdapat dalam pelbagai bentuk.

Dalam sidang akhbar yang sama, Pengerusi Kehormat Karyawan Zaienal Abidin Omar berkata perbincangan antara kerajaan negeri dan Karyawan pada hari ini agak positif dan mempunyai keterbukaan dalam membincangkan isu-isu hiburan.

Beliau berkata pihaknya berharap perbincangan akan turus diadakan untuk memperluaskan atau melonggarkan syarat-syarat yang difikirkan agak berat yang dikenakan kerajaan negeri terhadap artis yang hendak membuat persembahan di negeri ini.

"Artis lelaki masih dibenarkan mengikut garis panduan yang ditetapkan, saya belum melihat garis panduan itu dan saya tak boleh buat komen pada hari ini," katanya.

Katanya Karyawan merayu agar kerajaan negeri menimbang semula syarat-syarat yang dikenakan terhadap artis wanita untuk kebaikan bersama termasuk menggelakkan terjejasnya bakat mereka.

Sebelum ini, kerajaan PAS Terengganu telahpun menguatkuasakan peraturan yang sama di negeri itu.

Sejak menang di Terengganu, Kerajaan PAS telah menutup pusat karaoke, kedai gunting uniseks, dan pusat perjudian.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.