Dewan Tunku Canselor (DTC) di Universiti Malaya (UM) yang musnah dalam kebakaran lebih setahun lalu, kembali meriah hari ini dengan kehadiran graduan pada majlis konvokesyen universiti itu kali ini.
Menurut laporan agensi berita nasional,
Bernama
, majlis pembukaan konvokesyen yang gilang-gemilang oleh Canselor UM, Sultan Perak Sultan Azlan Shah berlangsung dengan penuh istiadat di dewan yang baru dibaikpulih itu.
Ketika bertitah, Sultan Azlan bertitah baginda bersyukur kerana majlis konvokesyen UM kali ini kembali diadakan di DTC.
"Pada tahun lalu kita mengadakan majlis konvokesyen di Stadium Putra, Bukit Jalil," titah baginda.
Titah baginda lagi, sungguhpun DTC baru dibaikpulih, keadaan di dewan itu tidak banyak berbeza seperti sebelum kebakaran berikutan kerja-kerja pembinaan semula dibuat dengan konsep pengekalan dan pemulihan bagi memastikan DTC kekal sebagai mercu tanda universiti.
Bersikap profesional
Selain itu, Sultan Azlan menasihatkan para graduan supaya bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang jauh berbeza berbanding zaman pelajar.
Titah baginda seseorang graduan itu harus melengkapi diri dengan ketekunan, kejujuran, keihklasan dan beretika semasa melaksanakan tanggungjawab profesion masing-masing.
Konvokesyen itu menyaksikan 6,800 graduan menerima ijazah pelbagai peringkat dan akan berlangsung selama lima hari bermula hari ini. Ia diadakan dalam tujuh sesi.
Hari ini, baginda menyampaikan ijazah kepada 611 graduan bagi peringkat Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma.
Baginda turut mengurniakan gelaran Profesor Emeritus kepada tokoh linguistik dan juga bekas pensyarah UM Datuk Dr Nik Safiah Abdul Karim dan Ijazah Doktor Kehormat Pendidikan kepada tokoh pendidikan Tan Sri Dr Johari Mat.
