malaysiakini logo
story-image
ADS

Menurut undang-undang Islam, rakyat diberikan kebebasan untuk mengkritik dan memantau kegiatan kerajaan. Kebebasan ini disebut dalam istilah Arab, hurriyat al-mu'aradah .

Kebebasan ini boleh diamalkan melalui nasihat ikhlas, kritikan membina, atau dengan tidak mematuhi arahan kerajaan yang salah jika pihak berkuasa itu telah melanggar peruntukan undang-undang Islam.

Sikap ini sejajar dengan prinsip yang terkandung dalam al-Quran, menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran ( amar bil ma'aruf wan nahyu al-munkar ). Prinsip ini mewajibkan seseorang Islam mengkritik, mengubah dan membetulkan kezaliman dan kejahatan seseorang atau sesuatu pihak, termasuk kerajaan.

Mu'aradah (mengkritik) adalah prinsip asas dalam pentadbiran kerajaan Islam, kata 'Afifi, dan seseorang individu diwajibkan bercakap benar dan mendedahkan penyelewengan sehingga ke peringkat menentang pihak berkuasa.

Dalam al-Quran dan sunnah Nabi, hak ini sama seperti yang dijelaskan tentang tanggungjawab "menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran" atau dikenali juga prinsip hisbah . Ia menjadi tujuan utama undang-undang Islam dan akhlak utama kuasa sesebuah kerajaan.

Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi tentang hak dan kewajiban ini sehingga ia membentuk tema utama, dan kewajiban, dalam pegangan hidup seseorang Islam.

Menurut al-Quran, hak dan tanggungjawab mengkritik (mu'aradah) dan hisbah kerajaan sama sahaja ke atas lelaki dan wanita. Setiap warga negara mempunyai hak yang sama untuk membantah penindasan, sama ada kezaliman itu berpunca daripada kerajaan, atau rakyat sendiri atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam sesuatu penyelewengan.

Hak mengkritik ini disokong lagi oleh amalan Nabi dan juga sahabat-sahabat baginda. Ketika perjanjian Hudaibiyah, seorang sahabat Umar al-Khattab tidak berpuas hati terhadap Nabi berhubung beberapa ayat dalam perjanjian itu. Umar menyuarakan kritikannya dan baginda menerima pandangan Umar itu.

Hadis Nabi juga menyebutkan, "sebaik-baik jihad (perjuangan) adalah berkata benar di depan pemerintah yang zalim."

Kritikan dan hak bersuara

Dalam ucapan aluannya sebagai khalifah Islam yang pertama, selepas kewafatan Rasulullah, Abu Bakar pernah berkata: "Wahai manusia, saya diberikan tanggungjawab memerintah di kalangan kamu, tetapi saya bukanlah calon yang terbaik. Bantulah jika saya benar dan betulkan saya jika saya salah."

Kata-kata ini dipersetujui ramai sebagai menunjukkan bahawa Abu Bakar menjemput rakyat mengkritik kerajaan dan menggalakkan orang ramai agar berhati-hati terhadap kegiatan pemimpin-pemimpin politik.

Seperti disebut Abu Habib, sikap asas yang dipamerkan Abu Bakar itu menunjukkan bukan hanya kritikan ke atas diri sendiri bermanfaat untuk pertumbuhan peribadi yang mulia, tetapi membenarkan kritikan rakyat adalah juga sifat yang perlu ada pada kerajaan yang bertanggungjawab.

Begitu juga sikap Umar al-Khattab, yang menggantikan Abu Bakar, terhadap kritikan. Beliau berlapang dada menerima kritikan seorang wanita dan malah bersedia mengaku kesilapannya sendiri.

Dalam penilaian as-Siba'i, sifat-sifat baik pemerintah yang ditunjukkan oleh Abu Bakar dan Umar itu membuktikan mereka berdua mengiktiraf kebebasan orang ramai untuk mengkritik pemimpin kerajaan.

Pengalaman pemeritahan awal sahabat-sahabat kanan Nabi ini dengan jelas menunjukkan 'Islam memberikan hak kepada rakyat untuk memantau kegiatan ketua negara dan pegawai kerajaan dan juga memastikan mereka tidak cuai menjalankan tugas.'

Sementara seorang sarjana Khidr al-Husain menjelaskan, Islam 'mewajibkan ke atas sesebuah masyarakat' mengawasi amalan ketua kerajaan dan pegawa-pegawainya dengan tujuan membetulkan penyelewengan, dan mengingatkan mereka tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Oleh itu, amalan mu'aradah (mengkritik) tidak akan wujud tanpa kebebasan bersuara, hujah al-Qasimi. Kebebasan ini sejajar pula dengan hak mengeluarkan pandangan, dan hak-hak ini tidak akan berjaya ditegakkan jika kerajaan tidak menghormati kebebasan seperti diperuntukkan dalam perlembagaan negara.

Tetapi apabila kebebasan wujud, hak mengkritik dengan sendirinya berperanan menyediakan ruang memberikan pandangan.

Bagaimanapun bangkangan terhadap kerajaan tidaklah wajar kerana semata-mata dengan niat untuk membangkang, misalnya diamalkan oleh sesetengah parti pembangkang dalam sistem politik hari ini. Parti seperti itu membangkang untuk memastikan kelangsungan hidup politiknya, bukan kerana kebenaran.

Keraguan dan kajian

Cara membangkang seperti ini tidak digalakkan oleh Islam. Seseorang harus mempunyai prinsip yang mulia dan berani mempertahankannya; bukan sekadar terikut-ikut dengan selera orang ramai.

Seperti pesan sebuah hadis: Jika orang ramai berbuat baik, maka bolehlah seseorang itu mengikuti kebaikan. Tetapi jika orang ramai berbuat buruk, maka ia tidak seharusnya dicontohi

Oleh itu, rasa tanggungjawab yang tinggi dalam diri seseorang adalah sangat mustahak untuk memastikan amalan mengkritik (mu'aradah) ditunaikan dengan berkesan. Malah sebenarnya kejayaan sesuatu kritikan itu, sama ada lisan atau tulisan, terletak pada keikhlasan seseorang.

Setiap orang harus bersedia bertanggungjawab dan tidak boleh mengelak daripada kritikan. Semua kritikan harus bertitik-tolak dalam bentuk nasihat.

Lagipun, kebebasan mengkritik tidak harus dijadikan jalan untuk memecah-belahkan atau mengelirukan, dan bukan juga untuk bermegah-megah. Dengan cara yang wajar, kritikan harus bertujuan mencapai kebenaran, dan usaha mencari langkah yang betul untuk manfaat masyarakat umum.

Kebebasan mengkritik tidak boleh diasaskan pada keraguan. Malah, Islam melarang penganutnya daripada tenggelam dalam keraguan atau kekeliruan.

Sekurang-kurangnya terdapat tiga syarat sebelum mengemukakan sesuatu kritikan:

Pertama, asas dan fakta harus dibuktikan terlebih dahulu. Keperluan ini disokong oleh ayat al-Quran yang menggesa seseorang Islam agar memeriksa sesuatu berita dan agar tidak melayan rasa ragu-ragu. Keraguan terhadap sesuatu sumber tidak boleh dijadikan asas untuk mengkritik.

Bagaimanapun tidak semua rasa syak itu boleh ditolak. Keraguan yang didasarkan pada asas-asas yang munasabah dan wajar sudah memadai untuk mengkritik. Keraguan seumpama ini disebut al-zann al-mubah (ramalan yang diizin). Usaha untuk memastikan kesahihan itu pula harus berada dalam kemampuannya untuk menyiasat. Jika seseorang tidak mampu, maka Allah tidak membebankan seseorang di luar kemampuannya.

Oleh itu, jika seseorang telah menjalankan siasatan atau kajian mengikut kemahiran terbaik yang termampu olehnya, sudah cukup hasil siasatan itu dijadikan asas untuk mengkritik walaupun keseluruhan kebenaran itu belum mampu digali sepenuhnya.

Bahagian II diterbitkan minggu depan


MOHAMMAD HASHIM KAMALI bertugas sebagai profesor undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sejak 1985. Tulisan ini diterjemahkan secara ringkas (oleh Fathi Aris Omar) daripada bukunya Freedom of Expression in Islam (Kebebasan bersuara dalam Islam), yang diterbitkan oleh Ilmiah Publishers Sdn Bhd, 1998. Untuk teks lengkap, sila rujuk halaman 49-55.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.