malaysiakini logo
story-image
mk-logo
News
Bekas KSU didakwa bersubahat dan tipu RM11 juta wang PPRT
Published:  Jul 15, 2002 7:32 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM
ADS

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Aziz Muhamad hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur terhadap tuduhan bersubahat pecah amanah dan tuduhan menipu membabitkan wang Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) berjumlah RM11 juta.

Menurut laporan agensi berita nasional Bernama , Abdul Aziz, 58, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan itu.

"Saya tidak mengaku salah. Saya menafikan sama-sekali tuduhan itu," kata Abdul Aziz setelah kedua-dua tuduhan itu dibacakan kepadanya.

Bagi tuduhan pertama Abdul Aziz, bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas, Ooi Kee Siang, didakwa dengan niat bersama bersubahat dengan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) pada ketika itu, Datuk Haji Alwi Said, 54, melakukan pecah amanah wang berjumlah RM2 juta.

Abdul Aziz didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 8, Kompleks Kewangan, Jalan Raja Chulan, di Kuala Lumpur antara 27 April dan 26 Julai 1999.

Menyembunyikan fakta

Bagi tuduhan itu, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 dan Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, Abdul Aziz didakwa telah menipu pegawai-pegawai Kementerian Kewangan dan Menteri Kewangan Kedua pada ketika itu, dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa pelaburan Ketengah dalam projek tanaman orkid, ternakan ikan dan kemudahan rekreasi di Tasik Puteri,Bukit Besi, Dungun, adalah berdaya maju melalui surat permohonan kelulusan pelaburan bernilai RM9 juta dalam Tasik Puteri Intergrated Farm (M) Sdn Bhd bertarikh 24 Jun 1999.

Dia juga didakwa telah menyembunyikan fakta material mengenai komen-komen daripada agensi-agensi kerajaan berkaitan projek itu yang dikatakan tidak berdaya maju sedangkan dia tahu mengenai fakta material itu.

Oleh itu Abdul Aziz didakwa telah dengan curangnya mendorong Menteri Kewangan Kedua pada ketika itu untuk meluluskan permohonan itu.

Abdul Aziz didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Kementerian Kewangan, Bahagian Kewangan, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Duta, Kuala Lumpur antara 24 Jun dan 9 Ogos 1999.

Bagi tuduhan itu Abdul Aziz didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan, dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ikat jamin

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Salehuddin Saidin memohon supaya mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM100,000 terhadap Abdul Aziz dengan seorang penjamin bagi kedua-kedua pertuduhan itu dan dokumen perjalanannya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Salehuddin berhujah bahawa kesalahan yang dilakukan oleh Abdul Aziz adalah serius dan mahkamah perlu mengambil kira jumlah wang yang terlibat semasa Abdul Aziz melakukan kesalahan itu.

Bagaimanapun peguam Abdul Aziz, Sharazi Mohd Sheriff memohon supaya mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM40,000 bagi kedua-dua pertuduhan kerana anak Abdul Aziz yang akan menjamin bapanya itu baru sahaja bekerja.

Sharazi berkata, lagi pun Abdul Aziz merupakan bekas kakitangan awam yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi selama 40 tahun dengan kerajaan.

Hakim Mohd Zaki Abdul Wahab membenarkan Abdul Aziz diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tuduhan itu dan memerintahkan supaya dokumen perjalanannya diserahkan kepada mahkamah.

Mohd Zaki menetapkan tarikh perbicaraan kes itu secara serentak selama dua minggu mulai 16 Dis. Wang ikat jamin Abdul Aziz itu dibayar tengah hari ini.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.