malaysiakini logo
story-image
mk-logo
News
Calon BN Anak Bukit ditentang anak bekas setiausahanya
ADS

Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit 18 Julai ini dianggap kritikal bagi Barisan Nasional (BN) kerana PAS dijangka terus mara untuk menguasi negeri Kedah sekiranya parti itu mampu mengekalkan kerusi tersebut.

Ini diakui sendiri oleh calon BN bagi DUN Anak Bukit, Datuk Zakaria Said, yang pernah memenangi DUN ini sebanyak empat kali sebelum dirampas PAS dalam pilihanraya umum 1999.

"Sekiranya `apa-apa berlaku' kepada kerusi ini kali ini, maknanya kemaraan PAS di negeri Kedah akan menjadi lebih mudah," Zakaria memberitahu malaysiakini ketika ditemui di kediamannya selepas penamaan calon Rabu lalu.

"Oleh itu, saya akan pastikan perkara ini tidak akan berlaku," kata Zakaria, yang lebih dikenali sebagai Pak Ya di kalangan penduduk tempatan.

Walaupun beliau mengakui bahawa tanggungjawab yang dipikulnya berat, Zakaria berkata beliau yakin sokongan penduduk tempatan yang telah begitu lama mengenalinya akan menjadi faktor utama kemenangannya.

Selain menjadi wakil rakyat sejak 1982 hingga 1995, Zakaria yang juga merupakan bekas guru Sekolah Menengah Alor Janggus, yakin ramai bekas pelajarnya akan pengundinya pada 18 Julai nanti.

Ramai saudara mara

"Selain itu, kebanyakan penduduk di sini, sama ada kaum Cina atau India, pasti akan memihak kepada saya kerana mereka amat rapat dengan saya dan tahu baik-buruk saya," katanya.

Zakaria turut memberitahu bahawa sebagai anak tempatan, beliau mempunyai ramai saudara-mara di kawasan DUN Anak Bukit, dan ini turut memberikan kelebihan kepadanya.

Beliau yang tidak dicalonkan untuk bertanding di mana-mana kerusi semasa pilihanraya umum 1999 berkata, peluang BN untuk merampas Anak Bukit bagi mendapatkan majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri Kedah adalah cerah.

PAS memenangi 12 daripada 36 DUN di Kedah dalam pilihanraya umum 1999. Bagaimanapun BN kehilangan majoriti dua pertiga bagi di Dewan Undangan Negeri berikutan kekalahannya kepada Keadilan dalam pilihanraya kecil DUN Lunas, pada tahun 2000.

"Kerusi DUN Anak Bukit merupakan kubu kuat PAS sejak tahun 1969 di mana pembangkang turut menguasainya dalam pilihanraya umum 1974 dan 1978," kata Zakaria, ayah kepada tiga anak serta enam cucu itu.

"Tetapi, ketika itu (1982) saya yang hanya merupakan ketua Pemuda Umno bahagian Kuala Kedah, telah berjaya merampas kerusi tersebut dari PAS, dan seterusnya mengulangi kejayaan yang sama pada tahun 1986 dan 1990," tambahnya.

Faktor Anwar Ibrahim

Dalam pilihanraya umum 1995, Zakaria bertanding untuk kerusi parlimen untuk kali pertama dan berjaya memenangi kerusi Kuala Kedah.

Menurut beliau, kekalahan BN di Anak Bukit dan beberapa kawasan lain di Kedah dalam pilihanraya umum 1999 adalah disebabkan oleh isu perpecahan orang Melayu ketika itu (kerana pelucutan jawatan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998).

Pada tahun tersebut, Allahyarham Datuk Fadzil Noor, yang juga Presiden PAS, telah berjaya memenangi kedua-dua kerusi DUN Anak Bukit dan Parlimen Pendang.

Bagaimanapun, kata Zakaria, berdasarkan pemerhatiannya sendiri, isu Anwar kini telah pun dilupakan oleh pengundi di Anak Bukit.

"Arus sekarang ialah rakyat mahukan kepada kerajaan yang kukuh kerana hanya kerajaan yang kuat sahaja boleh menolong rakyat," ujarnya.

Sambil menuding jarinya ke arah jalanraya di depan rumahnya, Zakaria menambah: "Tengoklah, 20 tahun dahulu (semasa Anak Bukit di bawah PAS) jalan ini masih lagi tanah merah... hari ini ia dah jadi jalan tar. Hari ini jalan-jalan di sini selalu sesak sebab setiap rumah dah ada kereta."

Rekod cemerlang

Selain itu, katanya, tandinganya kali ini -- Amiruddin Hamzah -- bukanlah anak tempatan sejati kerana jurutera muda tersebut berasal dari Kuala Kedah.

"Ia tidak memberi 'kelebihan' kepada PAS kerana sentimen pengundi di sini adalah kepada anak tempatan. Malahan, salah satu sebab kekalahan calon BN bagi kerusi parlimen Kuala Kedah pada 1999 adalah disebabkan calon tersebut bukannya dari sini, tetapi dari Alor Setar.

"Saya dah bertahun di sini, kalau orang sini nak jumpa saya, malam pun depa (mereka) boleh ketuk pintu rumah saya. Rumah saya, rumah depa. Lagi pun, saya mempunyai rekod cemerlang selama empat penggal di sini," jelas Zakaria lagi.

Ditanya adakah beliau mahukan kemenangan dengan majoriti undi yang lebih besar untuk membuktikan kekuatan BN di Kedah, Zakaria berkata itu adalah tidak perlu sama sekali.

"Matlamat saya ialah untuk memberikan kemenangan kepada BN, walaupun dengan kelebihan satu undi sahaja.

"Saya nak tebus kekalahan (1999) dan beritahu Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad) bahawa kemenangan saya ialah untuk membalas jasanya, dan ia merupakan hadiah saya kepada beliau," jelasnya lagi.

Rampas semula

Katanya, beliau mahu menunjukkan kepada pemimpin tertinggi Umno itu bahawa sebelum beliau bersara selepas bulan Oktober tahun depan, BN akan kembali menguasai Kedah.

"Sekiranya saya tidak yakin mampu merampas semula kerusi ini, saya tak mungkin mahu menerima tawaran untuk bertanding lagi," tegasnya.

Zakaria juga menyifatkan lawannya dari PAS, Amiruddin, 40, sebagai 'anak' sendiri.

"Dia (Amiruddin) bukanlah asing bagi saya. Saya mengenalinya sejak beliau masih kecil lagi kerana ayahnya pernah bertugas sebagai setiausaha saya," jelas.

Oleh itu, katanya, beliau amat berharap agar pilihanraya kecil ini akan berlangsung dalam suasana penuh semangat setiakawan tanpa tohmahan dan maki-hamun.

"Saya tahu, pucuk pimpinan BN amat berharapkan agar saya menang, dan saya akan pastikan kemenangan tersebut," kata Zakaria.

Pilihanraya Anak Bukit akan berlansung pada Julai 18 ini, berikutan kematian wakil rakyatnya, iaitu Fadzil, pada Jun 23 yang lalu.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.