Bekas ahli Parlimen Kuala Kedah, Datuk Zakaria Said disebut-sebut sebagai calon yang paling sesuai untuk mewakili Barisan Nasional (BN) bagi pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit, Kedah pada 18 Julai depan.
Manakala bekas ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul pula dijangka dipilih semula untuk bertanding bagi kerusi berkenaan. Beliau tewas kepada Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor, dalam pilihanraya umum 1999.
Menurut sumber-sumber yang rapat dengan Umno Kedah, Zakaria adalah ketua Umno cawangan Gunung Hilir, yang terletak dalam kerusi DUN Anak Bukit. Beliau juga merupakan bekas ketua Umno bahagian Kuala Kedah.
Dalam pertandingan pemilihan Umno pada tahun 2000, Zakaria tidak mempertahankan jawatannya itu, untuk memberi laluan kepada timbalannya, Datuk Syed Razak Syed Zain, yang juga Menteri Besar Kedah.
Zakaria adalah ahli Parlimen bagi Kuala Kedah sehingga 1998. Beliau memenangi kerusi itu dalam pilihanraya umum 1995 dengan majoriti 2,986 undi. Bagaimanapun, Zakaria tidak terpilih untuk mempertahankan kerusi itu dalam dalam pilihanraya umum 1999.
Calon BN yang menggantikan beliau, Dr Fadzi @ Fauzi Abd Hamid bagaimanapun tewas kepada calon PAS, Mohamad Sabu dengan majoriti 649 undi. Dr Fadzi memperolehi 22,557 undi manakala Mohamad Sabu mendapat 23,548.
Punca kekalahan BN
Menurut sumber-sumber itu lagi, kekalahan calon BN di kerusi Parlimen Kuala Kedah, Anak Bukit dan Pengkalan Kundur semasa pilihanraya umum 1999 lalu dipercayai berpunca daripada pemilihan calon-calon yang tidak sesuai untuk bertanding di kawasan terbabit.
Berikutan itu, kata mereka, pucuk pimpinan Umno negeri lebih berhati-hati kali ini dalam memilih calon bagi kedua-dua kerusi terbabit, terutama DUN Anak Bukit bagi mendapatkan semula majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri.
Anak Bukit adalah antara tiga kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Kuala Kedah.Yang dua lagi ialah kerusi Kubang Rotan and Pengkalan Kundur.
Kerusi Anak Bukit dan Pengkalan Kundur dimenangi oleh PAS dalam pilihanraya umum lalu. Manakala kerusi Kubang Rotan dimenangi oleh Syed Razak.
Dalam pilihanraya umum 1999, PAS memenangi 12 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen di Kedah. Dalam pilihanraya kecil Lunas, kerusi itu dimenangi oleh calon Keadilan, Saifudin Nasution Ismail, untuk menafikan BN dua pertiga majoriti di Dewan Undangan Negeri.
Majoriti pengundi Melayu
Menurut Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), jumlah pemilih bagi DUN Anak Bukit adalah 19,399 orang, terdiri daripada Melayu 16,889 orang (87.06 peratus), Cina 2,151 (11.09 peratus), India 290 (1.49 peratus) dan kaum lain 69 (0.36 peratus).
Bagi kawasan Parlimen Pendang pula, terdapat 53,128 pengundi dengan pengundi Melayu 46,630 (87.77 peratus), Cina 3,403 (6.4 peratus), India 487 (0.92 peratus) dan kaum lain 2,608 (4.91 peratus).
Pilihanraya kecil itu akan diadakan berikutan kematian wakil rakyat kedua-dua kawasan itu Datuk Fadzil Noor, yang juga Presiden PAS pada 23 Jun lepas.
Penamaan calon bagi kedua-dua kawasan itu ditetapkan 10 Julai dan pengundian 18 Julai.
Pada pilihan raya umum 1999, Parlimen Pendang mempunyai 53,388 pengundi sementara DUN Anak Bukit mendaftarkan 19,723 pengundi.
Sebanyak 44 saluran mengundi akan dibuka di DUN Anak Bukit dengan diawasi 230 petugas dan di Parlimen Pendang sebanyak 120 saluran mengundi dengan 590 petugas.
