Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub menjelaskan bahawa maksud 'kompromi' dalam kenyataannya berhubung pengunduran Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, sebenarnya merujuk kepada pengorbanan Perdana Menteri untuk terus berkhidmat.
Bernama melaporkan Megat Junid sebagai berkata bahawa kenyataannya itu bukan menyentuh kompromi di antara Dr Mahathir dan Jawatankuasa Pengurusan Umno.
Katanya, yang beliau maksudkan kompromi itu ialah ianya lahir dalam diri Dr Mahathir sendiri kerana sanggup berkorban meneruskan kepimpinan negara dan parti walaupun pada mulanya berkeras hendak meletakkan jawatan.
"Dr Mahathir sanggup berkorban dengan mengetepikan hasratnya untuk berundur bagi menumpukan lebih banyak masa untuk berehat, beribadat dan bermain-main dengan 15 orang cucunya," katanya.
Khamis lalu, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Khalil Yaacob menjelaskan bahawa proses peralihan kuasa yang diumumkan oleh Majlis Tertinggi parti baru-baru ini adalah kehendak Dr Mahathir sendiri dan bukan disebabkan faktor kompromi dengan jawatankuasa itu.
"Tolak ansur dalam diri Dr Mahathir itu tafsiran saya sendiri. Jadi apa yang Tan Sri Khalil cakap betul dan apa yang saya cakap tidak salah," kata Megat Junid ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Penerangan Umno Kedah di sini malam tadi.
Tarik balik
Dr Mahathir mengejutkan negara apabila mengumumkan di akhir Perhimpunan Agung Umno pada Sabtu lepas keputusannya untuk melepaskan jawatannya dalam parti serta Barisan Nasional, tetapi menariknya balik, berikutan rayuan perwakilan dan Majlis Tertinggi Umno.
Tiga hari selepas itu, Khalil mengumumkan bahawa Dr Mahathir bersetuju terus menerajui negara dan parti sehingga selepas Malaysia menjadi tuan rumah sidang kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Oktober tahun depan sebelum menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Megat Junid berkata apa yang berlaku Sabtu lalu Dr Mahathir melahirkan hasrat untuk berundur dan Abdullah merayu beliau menarik balik hasratnya itu adalah sesuatu yang luar biasa.
"Dr Mahathir, seorang pemimpin yang disanjungi dan disegani, bukan sahaja dalam negeri tetapi juga di seluruh dunia, sanggup meletakkan jawatan tanpa dipaksa atau digoncang.
"Biasanya kalau orang nombor satu nak keluar, orang nombor dua akan tepuk tangan. Tapi ini orang nombor dua merayu dan menangis. Keikhlasan dan kejujuran Pak Lah terserlah ketika itu," kata Megat Junid.
