malaysiakini logo
story-image
mk-logo
News
Mahathir letak jawatan, tetapi tarik balik sejam kemudian
ADS

berita tergempar

Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengejutkan para pemimpin dan lebih 2000 perwakilan Umno di perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini apabila mengumumkan perletakan jawatannya sebagai presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, sejam kemudian, Dr Mahathir bersetuju menarik keputusannya itu selepas dipujuk oleh para pemimpin majlis tertinggi, Umno, khususnya timbalan presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau membuat pengumuman itu selepas berucap hampir satu setengah jam menggulung perbahasan perwakilan di perhimpunan itu, dengan mengulas mengenai cadangan kerajaan melaksanakan meritokrasi, hukum hudud PAS dan kemudian mengenai cara kerajaan mengendalikan ekonomi negara.

Bagaimanapun, kira-kira jam 6 petang tadi, Dr Mahathir membuat pengumuman mengejut itu yang berbunyi: "Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan perletakan jawatan saya sebagai presiden Umno dan semua jawatan yang dipegang oleh saya dalam parti, perletakan jawatan saya sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN) dan semua jawatan dalam BN....."

'Dah lama buat keputusan'

Bagaimanapun, Abdullah terus mencelah meminta Dr Mahathir menarik balik keputusannya, sementara Ketua Wanita Datuk Seri Rafidah Aziz dan Ketua Pemuda Datuk Hishammuddin Tun Hussein Onn berjejas ke arah presiden Umno itu, diikuti oleh lain-lain ahli-ahli Majlis Tertinggi yang berada di atas pentas.

Ketika itu kedengaran Dr Mahathir berkata: "Saya dah lama buat keputusan...dah lama dah..."

Dalam keadaan kecoh itu di mana Dr Mahathir tidak dapat menahan perasaannya dan menangis terisak, diikuti oleh pemimpin yang lain, Pengerusi Tetap Umno, Tun Sulaiman Ninam Shah, yang juga kelihatan terperanjat dengan pengumuman itu, kemudiannya meminta para perwakilan supaya bertenang.

Para perwakilan kemudian bangun beramai-ramai lalu melaung kepada Dr Mahathir supaya menarik balik keputusannya untuk meletakkan kedua-dua jawatan itu.

Sambil mengumumkan bahawa para perwakilan menolak keputusan Dr Mahathir itu, Sulaiman juga berkata, perhimpunan ditangguhkan selama 10 minit untuk membolehkan Abdullah dan yang lain-lain memujuk presiden Umno itu.

Menarik balik keputusan

Kira-kira jam 7 malam, Abdullah muncul di pentas dan mengumumkan bahawa selepas dipujuk oleh beliau dan para pemimpin Umno lain, Dr Mahathir akhirnya bersetuju untuk menarik balik keputusannya untuk meletakkan jawatan itu, diikuti dengan tepukan gemuruh para perwakilan.

Walaupun Dr Mahathir pernah mengumumkan sewaktu perhimpunan agung lalu, kemungkinan beliau memimpin hanya satu penggal lagi, sebelum melepaskan jawatan kepada timbalannya, tetapi beliau tidak memperlihatkan sebarang tanda-tanda berbuat demikian sewaktu menyampaikan ucapan perasmiannya pada hari Khamis lalu.

Sementara itu, Abdullah ketika diwawancara oleh RTM berkata pengumuman Dr Mahathir sewaktu menggulung perbahasan tadi, telah mengejutkan beliau dan perwakilan Umno yang lain.

"Apa yang dinyatakan itu telah menimbulkan satu reaksi spontan di mana semua ahli majlis tertinggi telah merayu dan menyatakan kami semua tidak dapat menerima apa yang dinyatakan oleh Dr Mahathir itu.

"Ahli-ahli perwakilan di bawah begitu sekali menyatakan pendirian mereka dan saya telahpun mengambil waktu untuk mendapatkan kepastian dan membuat usul bahawa perhimpunan agung Umno menolak hasrat Dr Mahathir untuk meletakkan semua jawatan dalam parti dan kerajaan," katanya.

Secara spontan

Menurut Abdullah, usul itu disambut secara spontan dan selepas itu beliau bersama naib-naib presiden dan ketua-ketua pemuda, wanita dan ketua penerangan telah berjumpa dengan Dr Mahathir dalam bilik khas.

"Kami menyatakan kepada beliau bahwa hasrat parti supaya beliau terus memimpin parti dan kerajaan, dan hasrat itu adalah sebulan suara, tiada seorang pun yang berkecuali.

"Kami perlu mengambil masa yang begitu panjang untuk menyatakan kepada beliau perasaan ahli parti ketika itu. Walaupun beliau menyatakan hasratnya, sebagai seorang presiden parti yang sentiasa memahami apa juga dikehendaki ahli, beliau telah difahamkan supaya beliau menerima kehendak dan oleh itu, Dr Mahathir bersetuju mengekalkan semua jawatannya," kata Abdullah.

Abdullah juga berharap semua ahli Umno di seluruh negara dan parti komponen BN dan ahli-ahli mereka supaya bertenang, dan memahami bahawa Dr Mahathir masih perdana menteri, presiden Umno dan pengerusi BN.

Majlis tertinggi Umno juga mengadakan mesyuarat tergempar malam ini untuk membincangkan perkara itu.

Beliau yang merupakan ahli Umno sejak awal mula dikenali selepas memenangi pilihanraya umum 1964. Bagaimanapun, berikutan perselisihan faham dalam parti, beliau telah disingkirkan dari Umno pada 1969. Dr Mahathir diterima semula menyertai Umno pada 1972, sebelum dilantik ke Kabinet pada 1974.

Pada bulan Mac 1976, Dr Mahathir telah dilantik sebagai timbalan perdana menteri oleh Datuk Hussein Onn. Apabila Datuk Hussein meletakkan jawatan pada 1981, Dr Mahathir dilantik menjadi presiden parti serta Perdana Menteri Malaysia keempat.


Gambar diambil dari berita RTM