malaysiakini logo
story-image
ADS

Terjemahan seorang tukang kayu yang disyaki ditembak di mata kanannya ketika dalam tahanan polis diarah bercakap bohong kepada seorang doktor yang merawatnya sejurus selepas kejadian itu.

Lelaki berusia 24 tahun itu, How Soon Hock, asalnya ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes rompakan ditembak pada 6 Oktober lalu. Beliau dibawa ke hospital 30 minit kemudian.

Ketika mengimbas pengalaman ngeri itu kepada malaysiakini , How berkata peluru yang ditembak itu menembusi bahagian kanan dahinya dan mengakibatkan mata kanannya buta.

"Jangan beritahu doktor apa-apa," How mengulang arahan polis kepadanya ketika dalam perjalanan ke Hospital Universiti di Petaling Jaya.

"Saya diarahkan berkata bahawa saya hanya terlibat dalam kemalangan motosikal."

Bagaimanapun, apabila How memberikan alasan palsu itu, doktor tidak mempercayainya.

How juga menjelaskan seorang majistret melawatnya beberapa hari kemudian. Majistret itu bertanya sama ada How telah terlibat dalam kemalangan motosikal.

"Saya kata 'tidak'. Saya jelaskan kepadanya, saya ditembak dengan sepucuk pistol," jelas How. "Majistret berkata kepada saya , 'Adakah anda tahu apa yang anda cakapkan..' Saya katakan kepada majistret , 'Kalau kamu tidak percayakan saya, tanyalah doktor."

How ditahan polis pada 2 Oktober berhubung satu kes rompakan di sebuah klinik and dibawa ke balai polis Puchong.

Keesokan hari, beliau dibawa ke mahkamah majistret tanpa seorang peguam bela di sisinya dan How dikenakan tahanan reman selama tujuh hari.

Dalam tempoh tiga hari yang pertama, How tidak diberikan sebarang pakaian selain seluar pendek.

Pada jam 3 petang, 6 Oktober, seorang polis yang hanya dikenali sebagai Yap membawa masuk How ke dalam sebuah bilik.

How menggambarkan bahawa Yap berambut kerinting, berbadan sederhana dan dalam lingkungan 30-an.

How diarah duduk di lantai dan meluruskan kakinya. Yap kemudiannya memukul tapak kaki How dengan salur getah.

"Dia memukul saya dan memaksa saya melompat-lompat untuk lebih kurang 10 hingga 20 minit. Saya menahan kesakitan yang tidak terhingga," How memberitahu malaysiakini dalam satu temuramah di rumahnya di Petaling Jaya, Selasa lalu.

'Rawatan' kejutan elektrik

Yap mengunakan batang besi berelektrik untuk mengenakan kejutan kepada pemuda itu dan ketika itu tangan How digari ke belakang.

Yap mengancamnya, dengan berkata kejutan elektrik itu akan memberikan kesan yang buruk kepada How.

"Kamu akan menjadi gila selepas ini!" How mengimbas ancaman Yap lagi.

How berkata kesakitan yang dialaminya begitu perit seolah-olah "ia menembusi tulang-tulangnya."

Beliau menjelaskan lagi bahawa Yap menuduhnya melakukan jenayah dan penyeksaan ini adalah suatu amaran supaya How tidak lagi menyalahi undang-undang.

Kemudian seorang pegawai polis yang tidak dikenali memasuki bilik itu. Pegawai itu megeluarkan sepucuk pistol serta sebatang berus gigi dan bertanya, "apakah ini?"

"Ini berus gigi," kata How. Lalu pegawai polis menggunakan berus itu untuk membersihkan pistolnya.

How mendakwa lagi bahawa selepas itu, Yap memukulnya selama 10 minit lagi walau How merayu pegawai itu agar berhenti.

"Saya sangat takut pada waktu itu," kata How, sambil menambah itulah kali pertama beliau ditangkap polis.

Menurut How lagi, polis yang tidak dikenali itu kemudian memukulnya dengan fail setebal dua inci. Selepas itu, pegawai polis itu duduk, lalu mengacukan pistolnya ke arah How. Pegawai itu bertanyakan How apakah benda yang diacukan itu. How menjawab bahawa ia adalah sepucuk pistol.

Yap selepas itu memukulnya sekali lagi and meletakkan enam biji peluru di atas meja tersebut. Yap bertanya apakah pistol itu cantik. "Ya, ia cantik," kata How.

Yap selepas itu mengarah How memegang pisto tetapi pemuda itu enggan, sambil berkata: "Senjatapi hanya untuk polis. Ia menyalahi undang-undang kalau saya memegangnya."

How mendakwa lagi, Yap memaksanya memegang pistol tetapi tidak berjaya apabila How mengepal tangannya.

Selepas itu, How berkata Yap memasukkan sebiji peluru ke dalam pistol itu, memusingkan ruang letak peluru dan mengacukannya ke arah dada How lagi.

"Kita tengoklah kalau-kalau kau bertuah," kata Yap seperti diceritakan. Yap kemudiannya menarik pemicu tetapi tiada tembakan dilepaskan.

Kain hitam

Pegawai polis itu meletakkan sehelai kain hitam ke atas kepala How dan meneruskan pukulan dan kejutan elektrik terhadapnya. "Kamu menggunakan pistol ini untuk menyamun," kata How, mengulangi Yap.

"Tidak, tidak, tidak!" jerit How. Pegawai polis itu menangglkan kain hitam itu dan mengacukan pistol ke arah How lagi.

"Kita tengok kalau kau betul-betul bertuah kali ini," Yap dikatakan berkata dan menarik pemicu itu lagi. Apabila tiada tembakan, Yap berkata kepada How bahawa pemuda itu sungguh bertuah.

Seorang pegawai polis Melayu selepas itu masuk ke bilik itu, dan mengacukan pistol ke dahi How. Tukang kayu itu ditolak ke dinding bilik itu, sementara pegawai polis Melayu itu berkata, "Kalau aku tembak, kau akan mati."

Polis Melayu itu mengundur beberapa kaki dan selepas itu melepaskan satu das tembakan. How merasakan kesakitan yang amat sangat di bahagian dahi dan mata kanannya.

Dalam keadaan separuh sedar, How jatuh ke lantai, berlumuran darah, tetapi masih boleh mendengar suara-suara pegawai-pegawai polis itu.

Seorang daripada mereka mengheret kepala How dengan rambutnya, imbas How.

Apabila How meminta rawatan perubatan, polis itu mengarahkan How agar bersabar. Sementara itu, mereka mengelap kesan darah di dinding dan lantai bilik tersebut.

'Seakan menanti maut'

"Seakan-akan mereka menunggu saya mati," cerita How.

Selepas menunggu 30 minit, polis menarik baju How untuk menutup lukanya dan membawa How keluar melalui pintu belakang ke sebuah klinik kecil yang berdekatan.

Di klinik itu, luka How dibersihkan dan dijahit. Bagaimanapun, kakitangan di klinik itu menasihati polis agar membawa How ke Hospital Universiti secepat mungkin.

Akhbar News Straits Times melaporkan Ahad lalu bahawa OCPD Petaling Jaya Datuk Dell Akhbar Khan berkata bahawa ketika soal siasat, seorang polis cuba meletakkan kembali pistolnya kembali ke sarungnya, tetapi malangnya tertembak How.

Pegawai polis itu kini sedang disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjatapi, yang boleh didenda sehingga RM 5,000 atau denda dua tahun penjara atau kedua-duanya.

How dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dan bercadang mengambil tindakan mahkamah terhadap ketiga-tiga pegawai polis berkenaan.

English version

[#1]Gunshot victim told to lie to doctor[/#]


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.