malaysiakini logo
story-image
mk-logo
News
Utar terbuka untuk semua calon yang layak: Dr Ling
Published:  Jun 15, 2002 10:06 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM
ADS

Semua calon yang layak akan diterima masuk ke Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) tanpa mengira kaum, kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Ling Liong Sik hari ini.

"Bagi MCA, Utar terima sesiapa saja yang layak. Tak kira kaum Cina, Melayu, Iban, India, Kadazan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Kuih Chang di A Famosa Resort, di Melaka.

Menurut laporan Bernama , Dr Ling, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Utar, berkata beliau sedia cadangan termasuk daripada Pergerakan Pemuda Umno yang boleh meningkatkan lagi permohonan orang Melayu dan bumiputra ke Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di negara ini.

"Kita akan timbang dan terima (cadangan) dengan baik," katanya.

Dr Ling, yang juga menteri pengangkutan, berkata beliau bersedia bertemu Ketua Pemuda Umno Datuk Hishammuddin Tun Hussein pada bila-bila masa dan secepat mungkin untuk menyelesaikan isu kuota 10 peratus kemasukan bumiputra ke IPTS.

"Kalau ada apa-apa idea daripada beliau (Hishammuddin), kita boleh bincang. Setakat ini, kita bincang perkara itu dalam sebuah keluarga Barisan Nasional (BN)," katanya.

Ditanya bila pertemuan itu akan diadakan, Dr Ling berkata: "Secepat mungkin. Saya pun baru balik dari luar negeri (mengikuti rombongan Perdana Menteri ke Luxembourg)."

Permohonan masuk Utar

Mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, yang tidak bersetuju dengan penetapan kuota 10 peratus untuk pelajar bumiputera ke IPTS, beliau berkata: "Kita terima dengan baik apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri itu."

Dr Ling berkata tidak perlu ada kuota 10 peratus ditetapkan kerana kemungkinan pelajar Melayu yang layak memasuki IPTS adalah lebih daripada itu.

Ditanya kemungkinan Utar menerima lebih banyak permohonan daripada kaum lain, beliau berkata universiti sentiasa menggalakkan semua kaum memohon masuk Utar.

"Sebenarnya, ada empat permohonan masuk ke Utar diterima daripada pelajar Melayu. Kita panggil tiga, tapi yang daftar cuma seorang sahaja," katanya.

Menurutnya kemasukan majoriti kaum Cina ke Utar adalah disebabkan unversiti itu masih baru dan belum dikenali kaum lain.

"Kita akan buat promosi Utar dari semasa ke semasa kepada kaum lain," katanya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.