Pengiklanan

650 bantah Jais tidak beri tauliah

(Dikemaskini )

kemaskini 6.35pm Lebih 650 ahli kariah di Shah Alam membantah tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang tidak memberikan tauliah mengajar agama kepada ahli parlimen kawasan tersebut Khalid Samad.

Bantahan tersebut disuarakan melalui kempen kutipan tandatangan yang digerakkan seorang pegawai khas Khalid sejak seminggu lalu.

Mohd Jamil Abd Rahim, yang juga ahli kariah di Bukit Subang dekat Shah Alam berkata, tandatangan tersebut dijangka diserahkan kepada Jais dalam masa terdekat bersama satu memorandum bantahan.

"Sekarang kita tidak serahkan lagi sebab masih ada (tandatangan) yang masih belum dikutip," katanya hari ini.

Beliau, dengan beberapa anak kariah yang mewakili lebih 20 masjid dan surau di kawasan parlimen itu, mengadakan sidang akhbar di Shah Alam petang ini bagi mendesak Jais mengeluarkan tauliah kepada Khalid.

Anggota Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Izham Hashim, sebagai ahli kariah di situ, mengetuai sidang media.

Kempen kutipan tandatangan itu akan dilanjutkan lagi selama seminggu sebelum tindakan lanjut, katanya.

Dihubungi Malaysiakini pagi ini, Mohd Jamil berkata beliau mengambil inisiatif menganjurkan kempen tersebut bagi mendengar pandangan awam berhubung isu tauliah – yang kini menjadi kontroversi susulan pendakwaan terhadap bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini.

"Sebagai orang yang dipimpin, kami juga mahu memberikan pandangan. Kami turun dan lihat sendiri. Kami tanya ahli-ahli agama.

"Cara Khalid mengajar agama itu mudah difahami. Apabila mengajar ibadat, misalnya, beliau memberikan contoh-contoh yang senang," jelas Mohd Jamil.

"Kita bukan hendak bermusuh dengan pihak Jais. Tetapi persoalannya kenapa tidak diberikan tauliah kepada Khalid? Adakah beliau betul-betul tidak layak?

"Berikanlah hitam putih, jangan beri bermacam-macam alasan seperti tapisan keselamatan."

Dalam surat Jais bertarikh 10 Julai 2008 (foto atas) , pemimpin PAS itu diberikan tauliah mengikut kategori-kategori D1 (boleh mengajar atau berceramah) dan D2 (mengajar fardhu ain atau berkitab).

Kebenaran itu bagaimanapun dibatalkan oleh jabatan itu dalam suratnya 28 Oktober 2008 susulan tapisan keselamatan polis Selangor mendapati Khalid, adik kandung ahli parlimen BN Datuk Shahrir Samad, mempunyai "rekod jenayah."

Setelah Khalid meminta penjelasan dalam suratnya hujung September lalu, polis Selangor berkata semakan polis Bukit Aman mendapati beliau mempunyai "rekod jenayah".

Jenis jenayah yang didakwa dilakukan oleh bekas ahli jawatankuasa pusat PAS itu tidak pula dinyatakan dalam surat ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Selangor bertarikh 27 Oktober 2009 kepada beliau - yang diterima semalam (foto kanan) .

Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

Tukar sekarang Tidak, terima kasih