malaysiakini logo
story-image
mk-logo
News
Dunia perlu fahami sejarah negara Palestin: Ikim
ADS

Malaysia mahu masyarakat antarabangsa supaya jangan menghukum rakyat Palestin semata-mata berdasarkan apa yang sedang berlaku di negara ini sekarang, kata fellow kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Muhamad Muhammady.

Katanya, pendirian tegas Malaysia itu telah disuarakan oleh Perdana Menteri ketika beliau diwawancara selepas mengadakan dialog empat mata dengan Pope John Paul II.

"Mesti ada keadilan dan masyarakat antarabangsa jangan berpihak, seolah-olah hanya mereka yang ada kekuatan, boleh menentukan keadilan," tambahnya yang baru pulang ke tanahir semalam.

Oleh itu, katanya, aspek sejarah kewujudan negara Palestin dan nasib yang menimpa rakyatnya perlu diambil kira oleh masyarakat antarabangsa, sebelum menjatuhkan sebarang 'hukuman' ke atas mereka.

Toleransi beragama

Mengenai pertemuan di antara Dr Mahathir dan Pope John Paul ll, beliau berkata ia menepati Sunnah Nabi Muhammad yang sentiasa bertemu dan berhubungan dengan pemimpin-pemimpin agama lain.

"Baginda juga ada membuat perjanjian dengan rahib-rahib di St Catherine di Sinai, selain perjanjian Madinah dengan orang Yahudi. Amalan ini mencerminkan toleransi yang amat tinggi yang tidak terfikir untuk diamalkan oleh tamadun Eropah," katanya.

Muhamad berkata, pertemuan itu memberi peluang kepada Pope John Paul ll untuk mengetahui bagaimana orang lain, selain umat Islam di negara ini, termasuk penganut Katolik, turut mendapat tempat dan bebas untuk berkembang.

"Ianya sesuai dengan resolusi yang diterima di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB) , pada tahun 2001 bahawa kita perlu menggalakkan dialog tamadun. Penganut berlainan agama di Malaysia, sentiasa memahami satu sama lain, hidup dalam harmoni tanpa rasa syak wasangka antara satu sama lain," katanya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.