Pergerakan Pemuda MCA berdiri teguh di belakang ketuanya, Datuk Wee Ka Siong, mendesak presiden Datuk Seri Ong Tee Keat supaya mengumumkan pelan damai dan juga menghormati keputusan EGM 10 Oktober lalu.
Dalam mesyuaratnya hari ini, jawatankuasa pusat (CC) Pemuda MCA meluluskan usul mendesak Ong supaya bersikap terbuka mengenai pelan damainya dan menghormati resolusi EGM tersebut.
Wee berkata, semua pihak mesti menghormati resolusi EGM 10 Oktober itu di mana keputusannya adalah cukup jelas.
Dua resolusi diluluskan dalam EGM 10 Oktober lalu - pertama usul tidak percaya terhadap Ong dan kedua, mengembalikan keahlian Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Satu lagi resolusi untuk melantik semula Chua ke jawatan timbalan presiden telah ditolak perwakilan.
Keputusan mesyuarat hari ini memadamkan spekulasi bahawa Wee yang dilihat menyokong Liow menentang Ong, tidak mendapat sokongan Pemuda MCA.
Wee memberitahu satu sidang akhbar selepas mesyuarat CC Pemuda MCA hari ini bahawa pergerakan itu menyokong kepimpinannya sebulat suara ketika meluluskan usul tersebut.
Beliau menggesa Ong supaya mengumumkan butiran pelan damai itu,tetapi tidak memberi tarikh kepada presiden MCA itu berbuat demikian.
