Kementerian Pendidikan disarankan supaya mencari kaedah lain dalam menilai kelayakan calon bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi mengelak berlaku kekecohan berikutan pelaksanaan sistem pemilihan berdasarkan merit yang dilaksanakan tahun ini, kata Pengerusi DAP Lim Kit Siang.
Katanya, tiga pilihan yang boleh dipertimbangkan oleh pihak kementerian ialah sama ada mewujudkan peperiksaan bersama bagi calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Matrikulasi.
"Selain itu, kementerian juga boleh menimbang kemungkinan menghapuskan program Matrikulasi, dan pelajar hanya menduduk peperiksaan STPM untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA.
"Pilihan berikutnya ialah menghapuskan STPM dan pelajar yang bakal dipilih ke universiti hanya mengikuti program Matrikulasi. Dengan ini saya rasa tidak akan timbulkan soal "ketidakadilan" terhadap calon STPM dan Matrikulasi untuk berpeluang masuk ke universiti," katanya.
Sehubungan itu, Lim mendakwa STPM "boleh dianggap sebagai salah satu peperiksaan yang paling sukar di dunia"
Katanya, kekeliruan dalam penjelasan Pengarah Pendidikan Pengajian Tinggi di Kementerian Pendidikan, Prof Dr Hassan Said, semalam mengenai langkah "menyama-tarafkan" gred bagi program matrikulasi dan STPM, menyebabkan umum kurang yakin dengan keberkesanan sistem merit itu.
"Ianya gagal meyakinkan sama sekali kerana kita tidak boleh membandingkan epal dengan oren. Oleh itu, penjelasan tersebut tidak professional, tidak meyakinkan serta tidak adil," kata Lim dalam kenyataannya hari ini.
Beliau turut mempertikaikan kenyataan Dr Hassan bahawa penyamatarafan tersebut memberi kelebihan kepada pelajar STPM sebagai satu cara mudah untuk mendapat sokongan.
"Sekiranya gred STPM mempunyai kelebihan berbanding Matrikulasi, mengapakah beliau (Dr Hassan) tidak mencadangkan kepada Kabinet supaya pelajar bumiputra menduduki STPM dan seterusnya membuka program Matrikulasi kepada kaum lain?" soal Lim.
Kekeliruan gred
Lim juga terperanjat berhubung perbandingan gred yang diumumkan oleh Dr Hassan semalam, antaranya langkah menyamakan gred E bagi STPM dengan gred C bagi Matrikulasi, "kerana perbandingan piawaian akademik sepatutnya dibuat dengan melihat markah minima, dan bukannya huruf".
Beliau turut menyoal bagaimanakah program Matrikulasi, yang bertujuan untuk membantu mereka yang pencapaian akademiknya lebih rendah memasuki universiti "tiba-tiba boleh menjadi lebih baik dari STPM yang jangkamasa programnya setahun lebih panjang."
Lagi pula, kata Lim, program STPM sudahpun teruji kerana ianya bergabung dengan Lembaga Peperiksaan Tempatan Cambridge, berbanding dengan program Matrikulasi yang berasaskan sistem pendidikan Amerika Syarikat, di mana pemberian gred turut mengambilkira kehadiran kuliah, tugasan, persembahan dan "timbang rasa pensyarah".
Sementara itu, Naib Presiden Gerakan Datuk Dr S.Vijayaratnam berkata Dr Hassan, sebagai seorang kakitangan awam, tidak patut dipersalahkan kerana beliau sekadar melaksanakan dasar yang telah ditetapkan.
"Bagaimanapun, adalah wajar sekiranya pelajar tanpa mengira kaum, diberi pilihan untuk memilih kursus atau peperiksaan yang mereka mahu sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.
"Ini akan mengelak dakwaan bahawa wujudkan persaingan di padang yang tidak sama rata. Kerajaan juga mesti lebih adil dan telus dalam melaksanakan sistem meritokrasi ini," katanya lagi.
Tidak disembunyikan
Semalam, Dr Hassan menjelaskan bahawa pihaknya "tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan atau dimanipulasikan" berhubung pelaksanaan sistem merit bagi kemasukan pelajar ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang menimbulkan kekecohan sekarang.
Menurut beliau, program STPM dan Matrikulasi telah terlebih dahulu "disama-tarafkan" untuk memastikan pemilihan dibuat secara adil supaya yang terbaik sahaja dipilih memasuki IPTA.
"Pengredan kedua-dua program tersebut disama-tarafkan menerusi sistem Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) demi menyeragamkan kelayakan STPM dan kelayakan Matrikulasi," jelas Dr Hassan dalam sidang akhbar di Kementerian Pendidikan.
Pelaksaan sistem meritokrasi buat julung kalinya tahun ini telah menimbulkan kontroversi kerana lebih ramai pelajar bumiputera (68.9 peratus) berjaya memasuki IPTA berbanding dengan sistem kuota sebelum ini yang memberikan 55 peratus kepada bumiputra.
