malaysiakini logo
story-image
mk-logo
News
Pesuruhjaya Suhakam lawat 6 tahanan ISA
Published:  Apr 13, 2002 10:10 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM
ADS

Pesuruhjaya Suhakam Prof Hamdan Adnan hari ini melawat enam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sedang melancarkan mogok lapar di Kem Tahanan Kamunting, Perak.

Hamdan tiba di kem itu kira-kira jam 11.30 pagi dengan diiringi oleh seorang doktor dari Hospital Taiping untuk memeriksa keadaan kesihatan enam tahanan berkenaan.

Menurutnya, kesemua tahanan berkenaan kelihatan baik tetapi beliau bimbang kemungkinan mogok lapar itu, jika berlanjutan, boleh menjejaskan kesihatan mereka.

Tahanan berkenaan ialah pemimpin Keadilan Tian Chua, Mohd Ezam Mohd Nor, Lokman Noor Adam, Saari Sungib, Dr Badrulamin Baharon and penulis malaysiakini Hishamuddin Rais  yang ditahan kerana didakwa terbabit dalam usaha mengguling kerajaan secara kekerasan.

Bagaimanapun, mereka yang kini menjalani perintah tahanan selama dua tahun di bawah ISA, menafikan tuduhan itu, dan mendakwa tahanan merek bermotifkan politik.

Buat masa ini, mereka kelihatan baik dan keadaan kesihatan perlu diawasi, kata Hamdan kepada malaysiakini

Menurutnya, doktor melakukan pemeriksaan harian ke atas keenam-enam tahanan ISA itu sejak mereka melancarkan mogok lapar pada 10 April lalu sempena genap setahun ditahan di Kemunting.

Ditanya mengenai perkara yang dibincang sewaktu lawatannya selama tiga jam ke kem tahanan itu, Hamdan berkata mereka mengulangi tuntutan supaya dibebaskan atau dibicarakan di mahkamah.

Mereka juga menuntut supaya bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan menjalani rawatan bagi sakit tulang belakangnya di luar negeri.

Memberi nasihat

Menurut Hamdan tiada apa yang boleh dilakukan oleh suruhanjaya itu kecuali terus memberi nasihat kepada kerajaan berhubung perkara itu.

Pendirian Suhakam mengenai ISA tidak pernah berubah. Tahanan berkenaan hendaklah didakwa di mahkamah.

Bagaimanapun, kami akan terus menasihatkan kerajaan dengan harapan suatu hari nanti pihak berkuasa akan menerimanya, tambah beliau.

Semalam, Gerakan Hapuskan ISA (GMI) telah menghantar surat rayuan kepada Suhakam, supaya segera melawat Kem Kemunting bagi melihat keadaan tahanan ISA berkenaan.

Setiausaha GMI, S Arutchelvan juga meminta Suhakam memulakan siasatan terbuka mengenai apa yang didakwanya sebagai penyalahgunaan ISA oleh kerajaan terhadap keenam-enam tahanan itu.

Kami mahu Suhakam memberitahu kerajaan supaya membebaskan keenam-enam tahanan itu atau menghadapkan mereka di mahkamah terbuka, katanya.

Rabu lalu, beberapa aktivis dan pemimpin pembangkang turut menghantar memorandum, menggesa supaya tahanan berkenaan dibebaskan.

Peguam dilarang masuk

Sementara, pegawai di Kem Kemunting tidak membenarkan dua peguam tahanan berkenaan, Ngeh Koo Ham dan M Kulasegaran, daripada menemui mereka awal hari ini.

Ngeh, yang juga pengerusi DAP Perak, memberitahu malaysiakini tindakan pegawai berkenaan adalah bertentangan dengan hak tahanan berkenaan.

Mengulas perkara itu, Hamdan berkata, pihak berkuasa kem tahanan itu memberitahunya tahanan berkenaan dibenarkan menemui peguam mereka hanya sekali seminggu, tetapi sejak mogok lapar itu diadakan, mereka datang setiap hari.

Pegawai berkenaan juga mendakwa bahawa peguam tahanan itu, lebih membincangkan perkara politik, daripada soal perundangan.

Dalam satu lagi perkembangan berkaitan, DAP hari ini menggesa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memastikan tiada sebarang tindakan diambil terhadap tahanan yang melancarkan mogok lapar itu.

Abdullah perlu memberi jaminan bahawa keenam-enam mereka tidak akan dikenakan tindakan atau dianiaya dengan apa cara sekalipun, kata pengerusi DAP Lim Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.

Kiat Siang juga mengkritik Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Chor Chee Hueng yang mendakwa Khamis lalu bahawa keenam-enam tahanan itu telah melanggar prosedur dan peraturan tahanan mereka.

Mengikut peraturan di bawah ISA, tahanan yang enggan mengambil makanan yang disediakan dalam tempat tahanan tanpa alasan yang munasabah adalah dianggap telah melakukan kesalahan.

Mereka yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan perintah kurungan di samping tidak dibenarkan menemui pelawat, bekalan buku dan pakaian.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.