Pengumuman perletakan jawatan Datuk Mustapha Mohamed sebagai ketua Penerangan Umno untuk menumpukan sepenuh perhatiannya kepada politik Kelantan, sekaligus mencetuskan spekulasi mengenai bakal pengganti beliau..
Calon yang disebut sesuai untuk mengisi jawatan itu ialah setiausaha kerja Umno Malaysia, Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga merupakan pengerusi perhubungan Umno Wilayah Persekutuan dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Hubungan rapat beliau dengan pucuk pimpinan tertinggi Umno, khususnya dengan setiausaha agung parti itu, Datuk Seri Khalil Yaakob mencerahkan lagi peluang Tengku Adnan dilantik memegang jawatan berkenaan.
Ini kerana selaku ketua penerangan Umno Malaysia, penyandang jawatan itu perlu menjalinkan kerjasama yang rapat antara Bahagian Penerangan dan pejabat Setiausaha Agung.
Selain itu, kedudukan Tengku Adnan selaku setiausaha kerja Umno, yang rapat dengan ketua-ketua Umno bahagian, menjadikan beliau calon yang sesuai untuk mengisi jawatan yang kosong itu.
Pengalaman luas
Ia juga berikutan peningkatan mendadak dalam kareer politik beliau selepas dilantik menjadi setiausaha kerja Umno pusat. Selepas dilantik menerajui UmnoWilayah Persekutuan, Tengku Adnan dilantik sebagai Ahli Dewan Negara,diikuti dengan perlantikan beliau sebagai timbalan menteri.
Di samping itu, beliau juga mempunyai pengalaman luas dalam bidang persuratkhabaran, selepas mengambil alih penerbitan akhbar Watan pada awal tahun 1990-an. Dalam pemilihan pucuk pimpinan Umno pada tahun 1993, beliau berjaya memenangi kerusi majlis tertinggi Umno.
Mustapa, yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, membuat pengumuman itu selepas menyertai ketua-ketua bahagian Umno di Kelantan mengadakan pertemuan selama empat jam dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang melakukan lawatan kerja sehari ke negeri ini semalam.
Mustapa berkata beliau berbuat demikian bagi memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan dan telah memaklumkannya kepada Perdana Menteri dalam pertemuan berkenaan.
Beliau yang juga merupakan pengarah eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) berkata, keputusan itu merupakan kehendak badan perhubungan agar beliau lebih berada di bawah dan dapat memberikan sepenuh tumpuan di Kelantan.
Serentak dengan itu, Mustapa berkata, beliau tidak lagi menjadi anggota Jawatankuasa Pengurusan Umno.
Dr Mahathir ketika ditanya mengenai perkara itu, berkata beliau telah meminta Mustapha supaya memberi tumpuan di Kelantan.
Sementara itu, Khalil menyifatkan tindakan Mustapa itu sebagai "keputusan yang sesuai dengan strategi Umno untuk menawan semula Kelantan".
Menurut laporan Bernama, Khalil yang kini mengadakan lawatan ke Lebanon, berkata maklumat balas ekoran pergolakan di Kelantan menunjukkan bahawa rakyat Kelantan mahukan "angin perubahan" pemerintahan di Kelantan.
"Datuk Mustapa mempunyai cukup pengalaman, pengetahuan, kebolehan dan kepimpinan yang diterima oleh rakyat Kelantan dalam keadaan sekarang," katanya selepas mengadakan perjumpaan setengah jam bersama Perdana Menteri Lebanon Rafik Hariri di kediaman perdana menteri itu di sini.
Khalil yang juga Menteri Penerangan sedang dalam misi ke Mesir dan Lebanon bagi mewujudkan kerjasama pertukaran berita dan program televisyen di kalangan negara-negara Selatan.
