malaysiakini logo
story-image
mk-logo
News
KDN enggan ulas kelewatan lulus 2 majalah asing
ADS

Kementerian Dalam Negeri hari ini enggan mengulas tindakannya melambat-lambatkan keizinan mengedarkan dua majalah mingguan luar negara yang sepatutnya berada di pasaran awal minggu ini.

Semalam malaysiakini melaporkan KDN belum mengeluarkan surat keizinan kepada sebuah syarikat tempatan yang mengedar majalah-majalah itu yang berpangkalan di Hong Kong, Asiaweek dan Far Eastern Economic Review (FEER).

Asiaweek dan FEER masing-masing bagi edisi 2 Mac dan 1 Mac sepatutnya diedarkan kepada pelanggan kira-kira seminggu sebelum itu dan dijual di kedai-kedai akhbar pada tarikh edisi itu.

Setiausaha akhbar menteri berkenaan, Rohaizad Abd Rahim tidak bersedia menjelaskan tindakan itu.

"Saya tidak mahu ulas," katanya kepada malaysiakini .

Malaysiakini juga gagal mendapatkan penjelasan ketua setiausaha Unit Kawalan Penerbitan KDN, Tengku Mahmood Tengku Ismail walau telah dihubungi beberapa kali hari ini dan semalam.

Pengedar tempatan itu, Magazine Services (M) Sdn Bhd, hari ini memaklumkan ia masih belum menerima sebarang surat keizinan daripada kementerian.

Syarikat itu memberitahu malaysiakini semalam, lazimnya surat kebenaran KDN untuk jualan majalah luar negara diterima setiap awal minggu.

"Kami akan menyerahkan keluaran terkini untuk semakan pada hari Jumaat dan kelulusan diberikan pada keesokan harinya, atau Isnin depan (kira-kira seminggu sebelum tarikh di kulit majalah)," jelas kakitangan syarikat itu.

Kakitangan itu menambah, kementerian turut mengambil masa yang agak lama untuk meluluskan tiga lagi majalah luar negara The Economist , Newsweek dan Time .

"Majalah berkenaan hanya diluluskan semalam. Biasanya majalah-majalah itu diluluskan bersama FEER dan Asiaweek ," jelasnya lagi. ([#1] Latest Asiaweek, Review to be banned [/#], Feb 28).

Ketua Pengarang FEER Michael Vatikiotis berkata beliau juga tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung penangguhan majalah itu.

"Kita hanya tunggu dan lihat apa yang kerajaan (Malaysia) akan lakukan," katanya ketika dihubungi di pejabatnya di Hong Kong petang tadi.

Dungu dan letih

Bagaimanapun edisi-edisi internet FEER boleh dibaca sejak Khamis lalu, dan Asiaweek sejak Ahad lepas.

Dalam FEER , rencana 'Shaking the party grip on power' tulisan Lorien Holland menyebutkan perhimpunan Barisan Bertindak Melayu (BBM) menimbulkan ketakutan di dalam Umno, apabila pemimpin parti itu buat pertama kali mengkritik secara terbuka Presidennya Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan membangkitkan isu menyelamatkan syarikat penerbangan MAS bulan lalu.

Holland turut menulis, Dr Mahathir berhadapan dengan "kesan kempen senyap tetapi semakin merebak - di kalangan pemimpin kanan Umno - yang menyatakan pemimpin nombor satu itu masuk perangkap pembangkang dan tidak sesuai lagi memegang jawatan itu."

Sementara tulisan Arjuna Ranawana dalam Asiaweek bertajuk 'Building a legacy' mendakwa "bangunan pentadbiran kerajaan di Putrajaya mempunyai ciri-ciri keperibadian Dr Mahathir walaupun ia dinamakan sempena nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra."

"Bangunan terbesar adalah Jabatan Perdana Menteri (JPM), yang menjadi pusat segala-galanya. Struktur granit setinggi enam tingkat sebesar beberapa blok bangunan itu, dengan jendela hijau dan berkubah hijau, ia (bangunan JPM) menguasai bandar baru itu seperti mana Dr Mahathir membolot kuasanya terhadap negara ini sejak beliau menjadi perdana menteri dua dekad lalu," tulisan itu dipetik.

Dalam majalah yang sama, tulisan Roger Mitton bertajuk 'The new crusade' mendakwa Menteri Penerangan Tan Sri Khalil Yaakob pernah mempunyai hubungan dengan seorang aktivis pejuang pemisah, Barisan Pembebasan Islam Moro, di selatan Filipina. Pejuang itu Ghazali Jaafar kini dikehendaki oleh kerajaan negara itu atas dakwaan membunuh.

Tulisan yang mengupas isu radikalisme Islam di Asia Tenggara itu turut menyebutkan pemimpin negara ini masih mempunyai hubungan peringkat tertinggi dengan beberapa kumpulan pejuang di rantau ini walau telah memutuskan sokongan rasmi.

Kementerian Penerangan dan Kementerian Luar Negeri mengadakan mesyuarat pertama bagi memantau laporan tidak tepat media asing di Angkasapuri pada 22 Februari lalu.

Jawatankuasa bersama dua kementerian itu ditubuhkan bulan lalu sebagai reaksi sebuah laporan Asiaweek yang meletakkan sekeping foto yang didakwa menampakkan Perdana Menteri sebagai "seorang yang dungu dan letih."


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.