Metrowangsa Asset Management Bhd dijangka mengemukakan penyataan membela diri dalam tempoh seminggu ini untuk mengenepikan saman dan perintah injunksi yang difailkan oleh Lembaga Tabung Haji (LTH) berhubung pelanggaran perjanjian membabitkan pelaburan RM201 juta.
Tabung Haji yang menfailkan saman di Mahkamah Tinggi Sivil pada 15 Februari lalu memohon supaya dana agensi itu yang dilaburkan oleh Metrowangsa dan penyanyi yang juga peniaga matawang Ahmad Hassan, disiasat.
Pada tarikh yang sama, Tabung Haji juga mendapat perintah menghalang daripada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Malik Ishak, supaya Metrowangsa dan Ahmad tidak berurusan dengan aset pelaburan bernilai RM80 juta.
Menurut jurucakap Metrowangsa, pihaknya mempunyai tempoh seminggu lagi, sehingga Selasa depan, untuk mengemukakan penyataan pembelaan diri itu.
Saya tidak pasti sama ada ianya akan dikemukakan minggu ini ataupun minggu depan, katanya kepada malaysiakini .
Mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Hamid Zainal Abidin semalam bahawa Tabung Haji tidak tahu-menahu mengenai pelantikan pihak ketiga bagi menguruskan dana yang diserahkannya kepada Metrowangsa, jurucakap itu berkata: Kami telah dinasihatkan oleh peguam kami supaya tidak membuat sebarang kenyataan mengenai perkara ini.
Hamid memberitahu Dewan Rakyat semalam bahawa berdasarkan perjanjian antara Tabung Haji dan Metrowangsa, hanya syarikat itu yang dilantik sebagai pengurus dana, dan lembaga itu tidak pernah melantik atau mempunyai apa-apa urusan atau hubungan dengan pihak ketiga berkenaan.
Keadaan sebenar dan betul
Dalam pernyataan tuntutannya, Tabung Haji mendakwa menandatangani dua perjanjian dengan Metrowangsa. Antara butiran perjanjian itu, Tabung Haji melantik Metrowangsa untuk mengurus dan melabur dana bagi program Standard Metrowangsa Programme (SMP) dan High Yield Programme (HYP) atau Special Trading Programme (STP).
Mengikut perjanjian itu, Metrowangsa memastikan Tabung Haji tahu mengenai keadaan sebenar dan betul pelaburan dari semasa ke semasa selaras dengan perjanjian mengikut Seksyen 47A hingga 47E Akta Industri Sekuriti 1983. Selaras dengan kedua-dua perjanjian itu, sebanyak RM200 juta telah diberikan kepada Metrowangsa untuk dilaburkan.
Pada 19 Oktober 2001, Tabung Haji mengeluarkan dua surat memberikan Metrowangsa notis mengenai niatnya untuk menamatkan kedua-dua perjanjian dan meminta pengembalian pelaburan bersama dengan keuntungan ke atasnya.
Melalui surat bertarikh 22 Oktober 2001, Metrowangsa mengatakan pelaburan Tabung Haji mengikut perjanjian pertama berjumlah RM51 juta akan dibayar sebelum 26 Oktober 2001. Pelaburan kedua pula berjumlah RM150 juta akan dibayar melalui pembayaran RM95 juta bersama keuntungan sebelum 10 November 2001 dan RM55 juta sebelum 10 Disember 2001.
Dari 26 Oktober 2001 sehingga 26 November 2001, Metrowangsa membayar RM121 juta tetapi pada 23 November 2001, Metrowangsa meminta agar baki dana Tabung Haji sebanyak RM80 juta tidak dikeluarkan serta-merta untuk mengelakkan daripada kerugian tidak berhasil sebanyak RM38.58 juta.
Sehubungan itu, katanya, Tabung Haji telah memfailkan tuntutan sivil di mahkamah untuk mendapatkan semula baki RM80 juta berserta keuntungan yang belum dibayar dan kos ganti rugi seperti yang ditetapkan dalam perjanjian asal.
Berikutan itu, enam pegawai kanan pengurusan Tabung Haji disiasat oleh jawatankuasa tatatertib.bagi menentukan sama ada mereka bertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami oleh Tabung Haji akibat kelemahan pengurusan pelaburan.
Menurut Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Noh Omar, jika didapati berlaku penyelewengan dan unsur-unsur rasuah, laporan akan dibuat kepada polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR).
September lalu, Tabung Haji menubuhkan panel pelaburan yang dianggotai profesional pelbagai bidang ekoran kerugian yang dialaminya menerusi pelaburan di dalam dan luar negara. Ia turut melantik firma perunding Price Waterhouse Coopers bagi mengkaji dan membei pandangan mengenai pelaburan sedia ada dan langkah yang diambil bagi meningkatkan prestasinya.
Tabung Haji mempunyai aset RM11.3 bilion melalui sembilan peratus portfolionya dalam sektor perladangan, 18 peratus (hartanah), 31 peratus (saham anak syarikat, syarikat sekutu dan ekuiti) dan 42 peratus (instrumen kewangan Islam).
