malaysiakini logo
story-image
mk-logo
News
Tabung Haji -Jangan pisang berbuah dua kali: Muhd Taib
ADS

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhammad Muhammad Taib mahu pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji mengambil pengajaran daripada kerugian besar yang dialaminya bagi mengelak daripada pisang berbuah dua kali.

Kita memang kecewa tetapi biarlah ia menjadi satu pengajaran pahit kepada pihak pengurusan Tabung Haji supaya ia tidak berulang lagi,  katanya kepada malaysiakini sebagai mengulas laporan mengenai pelaburan Lembaga Tabung Haji menerusi Metro Wangsa Asset Management Sdn Bhd yang menyebabkan kerugian RM80 juta.

Semalam akhbar melaporkan bahawa Tabung Haji telah memfailkan saman terhadap syarikat itu dan peniaga matawang Ahmad Hassan berhubung pelanggaran perjanjian membabitkan pelaburan RM201 juta.

Jawatankuasa Tatatertib Lembaga Tabung Haji juga mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada enam pegawai kanannya yang akan dipanggil untuk membela diri berhubung kes berkenaan.

Bongkar penyelewangan

Taib juga berharap pengurusan Tabung Haji sekarang akan dapat membongkar sebanyak mungkin penyelewengan yang berlaku dalam lembaga itu supaya tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Ketika diminta mengulas mengenai desakan beberapa pihak, termasuk Pemuda Umno, supaya pengurusan Tabung Haji dirombak, Taib berkata, pihak pengurusan sekarang baru dilantik untuk memperkemaskan lagi pengurusan lembaga berkenaan.

Malah, katanya, pihak pengurusan yang baru itulah yang berjaya mengesan penyelewengan dan kerugian yang dialami oleh Tabung Haji sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Umno Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berpendapat semua pihak harus menunggu hasil siasatan terhadap kerugian yang dihadapi oleh Tabung Haji.

Dalam dunia perniagaan ada untung dan ruginya. Kita mesti mengambil kira serangan terhadap matawang dan juga kejatuhan teruk harga saham sejak 1997.

Tetapi jika penyiasatan mendapati berlaku penyelewengan, kerajaan mesti bertindak dan jangan lepaskan mereka yang bertanggungjawab melakukannya, tambah beliau yang juga merupakan bekas timbalan menteri.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.