malaysiakini logo
story-image
ADS

Sempena ulang tahun yang ke 60 berakhirnya Perang Dunia Kedua, pelbagai pihak sekali lagi menggesa kerajaan Jepun meminta maaf terhadap mangsa-mangsa perang. Gesaan ini bagaikan sudah menjadi satu trend terutamanya kepada pertubuhan-pertubuhan Cina yang memainkan irama yang sama setiap tahun.

Namun begitu, persoalannya ialah apakah gunanya maaf yang dituntut daripada kerajaan Jepun? Bolehkah ia mengubah fakta sejarah Perang Dunia Kedua? Bolehkah ia menyembuhkan hati keluarga mangsa perang yang terkorban? Bolehkah ia menjadi pampasan kepada hamba-hamba seks sewaktu perang? Bolehkah ia membuatkan mangsa-mangsa melupakan segala titik hitam yang terjadi ke atas mereka ataupun ahli keluarga mereka?

Sekiranya dengan meminta maaf boleh mengubah fakta-fakta yang telah menjadi sejarah, bukan sahaja pihak Jepun yang harus meminta maaf, Amerika Syarikat juga harus meminta maaf kerana mengebom Hiroshima dan Nagasaki. Serangan bom atom itu adalah lebih kejam berbanding dengan apa yang dilakukan oleh tentera Jepun kerana generasi-generasi seterusnya akan terus merana kesan daripada serangan tersebut.

Begitu juga negara Jerman harus meminta maaf terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Hitler terhadap penduduk Eropah dengan dasar pembersihan etniknya. Negara-negara yang terlibat dalam perang tersebut juga harus meminta maaf.

Walau bagaimanapun, hakikatnya, walaupun kerajaan Jepun meminta maaf, ia tidak akan memberi sebarang kesan terhadap fakta sejarah yang telah berlaku dan ia tidak akan mengubah persoalan-persoalan tersebut. Hakikat ini telah disedari oleh bangsa-bangsa lain tetapi tidak oleh bangsa Cina.

Kenapa mereka hanya mendesak pihak Jepun dan tidak kepada pihak komunis dan Chin Peng yang menghuru-harakan negara serta membunuh orang Cina yang tidak berdosa sewaktu daurat dahulu? Lagipun, pihak Jepun telahpun menerima hukuman mereka dengan kehancuran sebuah negara yang dicemari sisa-sisa atom. Penjenayah-penjenayah perang telahpun dihukum gantung sampai mati.

Justeru itu, kerja-kerja persatuan-persatuan Cina tersebut hanya membuang masa dan bagaikan anjing menyalak ke bukit.

Adalah lebih baik sekiranya masa yang terluang itu digunakan untuk mencari jalan penyelesaian kepada ketidaktentuan suasana politik masyarakat Cina, isu sekolah Wawasan, isu Suqiu dan sebagainya kerana survival kebudayaan, pendidikan dan politik generasi Cina yang berikutnya adalah amat bergantung kepada apa yang dilakukan oleh generasi hari ini.

Persatuan-persatuan Cina yang sentiasa melaungkan bahawa mereka ini memperjuangkan hak-hak masyarakat Cina selama ini harus membuktikan komitmen mereka.

Isu Perang Dunia Kedua adalah isu yang remeh kerana generasi yang berikutnya tidak akan terbawa-bawa sentimen tersebut. Sebaliknya, mereka akan mempersoalkan isu yang berkaitan dengan hak-hak mereka di Malaysia.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.