malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya tertarik dengan percambahan minda yang diutarakan oleh Zulkarnain Zakaria mengenai interpretasi berbeza terhadap makna meritokrasi menurut pandangan Islam. Sekadar ingin menambah kepada percambahan minda dan meluaskan ruang muzakarah, saya ingin mengusulkan agar satu kaedah dirangka bagi membolehkan ia dilaksanakan secara telus, seimbang dan memuaskan hati kebanyakkan pihak.

Sebagai contoh mudah, kita boleh mengambil kira perbezaan taraf sekolah yang diikuti oleh pelajar-pelajar di bandar dan di luar bandar. Sama ada ia adalah sekolah berasrama penuh ataupun sekolah menengah biasa nun jauh di kampung yang taraf pelajarnya dari sudut kesihatan, pemakanan, ekonomi dan pergaulan adalah jauh lebih rendah daripada yang dinikmati oleh rakan-rakan sebaya mereka yang mendapat peluang yang lebih baik di bandar.

Walau apa pun, ini tidaklah bermakna semua pelajar yang tinggal di bandar adalah pintar belaka ataupun yang tinggal di luar bandar rendah kemampuan akedemiknya. Bagaimanapun, elemen ini hendaklah diambil kira di dalam kita menetapkan sistem meritokrasi.

Dalam banyak keadaan, kelulusan akedemik sahaja belum tentu menjamin seeorang itu akan menjadi penuntut yang cemerlang di alam kampus mahupun di alam kerjaya. Ini kerana mungkin ada antara pelajar itu yang akan tergelincir daripada matlamat sebenar mereka atas sebab-sebab yang kadangkala menlangkaui logik pemikiran kita.

Kisah siswa putus cinta, masaalah keluarga, ponteng kelas kerana benci terhadap pensyarah dan sebagainya adalah sinonim dengan dunia kehidupan mahasiswa. Begitu juga berdasarkan pengalaman di alam kerjaya, terdapat mereka yang mempunyai sijil akademik yang baik tetapi mempunyai jati diri dan budaya kerja yang pasif dan menghasilkan produktiviti yang sederhana.

Itu belum dikira mereka yang terbabit dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang berleluasa tanpa adanya rasa maluat ataupun bersalah. Merujuk kembali kepada isu meritokrasi di atas, sememangnyalah kita ingin berjaya kalau boleh dengan kudrat dan upaya kita sendiri.

Walaupun begitu, kemampuan kita adalah terhad dan sebagai manusia sememangnya mempunyai kecenderungan untuk memberi sokongan kepada puak atau kumpulan sendiri. Manakala orang yang mempunyai kedudukan dan pengaruh pula mendapat layanan yang lebih baik berbanding mereka yang tidak mempunyai apa-apa atau mengenali sesiapa sehingga dikatakan kini adalah era know who dan bukan lagi know how .

Akhir kalam, saya ingin mengusulkan agar satu kajian yang mendalam dan menyeluruh dilakukan agar perlaksanaan sistem ini nanti bukannya menghasilkan natijah sebaliknya. Umpama kata pepatah yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran .


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.