malaysiakini logo
story-image
ADS

Apabila disorot, tulisan Ahmad Zaki Yamani Zainon, bekas Setiausaha Agung PKPIM cukup menghairankan ([#1] Pemimpin siswa 'melacurkan politik'? [/#], Mac 10).

Perkara pokok yang dipertikaikan penulis itu ialah gerakan mahasiswa hari ini cukup lemah dan pudar sebab kebanyakan badan pelajar hari ini telah 'menyerahkan tengkuk mereka untuk digembala dan ditunggangi' oleh parti-parti politik.

Membuat perbandingan yang tidak mempunyai analisis konkrit dengan gerakan mahasiswa 1970-an, penulis membuat andaian bahawa gerakan mahasiswa ketika itu cukup kuat dan bertenaga disebabkan tiada keterikatan dengan mana-mana pihak dan berupaya menjadi independent force (daya bebas) yang digeruni.

Kesimpulan akhir yang dinukilkan oleh penulis ialah pemimpin pelajar hari ini menjadi 'pelacur' kepada kuasa-kuasa politik dan itulah hakikat perkaitan antara 'pelacuran politik' dan gerakan siswa.

Saya tidak ingin mengambil tahu apakah motif dan tujuan sebenar penulis itu yang tiba-tiba membuat kenyataan yang sebenarnya menyerlahkan ketidakfahaman beliau terhadap prinsip asas gerakan pelajar, sistem demokrasi yang kita amalkan dan semangat berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Beberapa perkara nampaknya perlu diperjelaskan.

Dengan menjadikan badan-badan pelajar seperti Gamis (Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung), BBMN (Barisan Bertindak Mahasiswa Negara, GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung) dan termasuk juga PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia) yang pernah beliau dukungi sebagai sasaran amarahnya, kita tidak tahu apakah yang diingini oleh penulis yang nampaknya kini sudah insaf daripada menjadi 'pelacur'.

Gerakan pelajar akan tetap selama-lamanya menjadi pendukung prinsip kebenaran dan keadilan. Ia bukan soal menyokong mana-mana parti yang menjadikan gerakan pelajar lemah, tetapi ia disebabkan pemimpin pelajar - seperti penulis - yang sentiasa mencari dan memperbesarkan perbezaan-perbezaan kecil yang wujud di antara badan-badan pelajar.

Masing-masing ego dengan cara dan pendekatan masing-masing hingga menjejaskan tumpuan terhadap peranan sebenar gerakan pelajar.

Saya tidak tahu apakah ukuran sebenar yang digunakan oleh penulis untuk menilai kekuatan gerakan pelajar. Apakah dengan hanya menilai kekerapan demonstrasi yang dianjurkan mahasiswa atau bilangan kenyataan akhbar dan pandangan pemimpin pelajar tersiar dalam media, maka itulah gambaran sebenar betapa bertenaganya gerakan pelajar kontemporari?

Penulis harus berpijak di bumi nyata. Tidak adil sama sekali membandingkan gerakan pelajar hari ini dengan generasi 'abang-abang' kita pada tahun 1970-an yang sudah tentu cukup berbeza sekali suasananya.

Suasana masa itu yang tidak terikat dengan pelbagai kongkongan dan peraturan membolehkan mereka bergerak dengan tindakan yang bersifat keras, radikal dan berdasarkan publisiti. Ia berbeza dengan era pasca Akta Universiti dan Kolej Universiti (pindaan 1975) yang memerlukan kita lebih bijaksana mengatur langkah.

Bukankah penulis sendiri antara mereka yang menjadi mangsa kezaliman akta AUKU? Apakah penulis tidak terfikir apakah yang menimpa penulis sehingga menjadi trauma terhadap teman seperjuangan yang lain? Namun saya juga bersetuju AUKU tidak harus dijadikan alasan untuk kita terus menjadi bacul dalam perjuangan.

Oleh itu orientasi gerakan kita harus berubah dalam menangani perubahan semasa. Kita harus berpolitik dengan cara dan kaedah yang baru. Oleh sebab itulah Gamis dan BBMN bersetuju dengan penubuhan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang akan menjadi medan kepada kita unutk membangkitkan secara berdepan segala yang terbuku dalam hati kita terhadap kerajaan. Inilah politik yang bijaksana.

Penulis juga nampaknya tidak mengkaji dengan sempurna gerakan pelajar 1970-an apabila menyatakan gerakan pelajar ketika itu bebas daripada pengaruh kuasa-kuasa politik.

Tahukah penulis bahawa pemimpin pelajar ketika itu cukup intim dengan perjuangan sosialis yang didukung oleh Partai Rakyat Malaysia hinggakan pemimpin pelajar seperti Syed Hamid Ali (Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya) adalah ketua Partai Rakyat Cawangan Pantai (sila rujuk buku Mahasiswa Menggugat oleh Muhammad Abu Bakar).

Termasuk juga pensyarah-pensyarah yang rapat dengan pelajar seperti Dr Syed Husin Ali yang merupakan pimpinan PRM. Adakah penulis tergamak mengatakan mereka ini juga sebagai 'pelacur'?

Sebab itu saya menyatakan bahawa ini bukan soal menjadi alat mana-mana pihak; ia soal keikhlasan mempertahankan prinsip perjuangan. Penulis harus ingat adalah hak semua pelajar untuk menyokong mana-mana parti politik yang disukai kerana hak ini dijamin oleh Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Janganlah terikut-ikut dengan rentak anasir-anasir yang ingin melemahkan gerakan pelajar dan ingin melihat kita sentiasa bertelingkah. Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Kalau begitu saya juga boleh mengatakan penulis adalah pelacur kepada Gerakan Reformasi dan parti pembangkang kerana penulis tidak pernah ketinggalan menyertai sebarang demontrasi jalanan.

Dan saya juga tidak pernah dengar bilakah penulis memperkatakan sesuatu yang positif terhadap tindakan kerajaan. Bukankah penulis dahulu antara yang paling lantang menentang penubuhan MPPK?

Oleh itu kesimpulannya, ini bukanlah ketika yang sesuai untuk membuat tuduhan yang tidak disertai asas yang kukuh. Walau apapun keadaannya, gerakan pelajar akan terus memperjuangkan prinsip kebenaran dan keadilan.

Tahukah penulis siapakah sebenarnya pemimpin pelajar yang menjadi pelacur? Mereka ialah pemimpin siswa yang bersekongkol dan diam membisu terhadap kepincangan yang berlaku serta menggadai prinsip perjuangan yang murni dan mereka yang menjadi alat kepada musuh gerakan pelajar supaya gerakan itu sentiasa bercakaran dan sentiasa memperbesarkan perbezaan yang kecil.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.