SURAT | Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kali ini baru saja bermula tetapi sudah ada desakan ‘derhaka’ apabila segelintir perwakilan secara terbuka menggesa presiden mereka, Muhyiddin Yassin, berundur.
Sangat jarang kita boleh melihat atau mendengar seorang pemimpin tertinggi sesebuah parti ‘diherdik’ sebegitu. Sudahlah semasa perhimpunan terbesar tahunan, secara terbuka dan lantang pula.
Ia sekadar mengesahkan sesuatu yang ‘berbau’ sejak lama dulu tetapi ditutup-tutup dengan tudung saji oleh kebanyakan pihak dalam Bersatu.
Nampaknya memang ada yang tidak tuntas dalam parti itu.

Memanglah apa yang berlaku malam tadi sebuah ironi politik. Jika baru-baru ini Muhyiddin dengan bergaya mendesak Anwar Ibrahim berundur dari jawatan atas alasan gagal sebagai perdana menteri, kali ini gesaan itu dilontarkan ke batang tubuh dia sendiri.
Kalau dalam bahasa sinis, itu ibarat “Qunut Nazilah memakan diri”.
Dari sudut dalaman, jelas pertembungan dalam Bersatu semakin menajam. Orang nombor dua dalam Bersatu, Hamzah Zainudin, sering disebut-sebut sebagai calon yang lebih sesuai menjadi kepala tertinggi parti.
Parti komponen PN pun nampaknya lebih selesa dan ramah dengan Hamzah.
Namun pada pandangan saya, Muhyiddin tidak perlu tunduk kepada desakan sebegitu. Sebagai pemimpin yang kanan dan berpengalaman, pilihan terbaik untuk Muhyiddin dan Bersatu ialah kekal dengan status quo.

Muhyiddin mesti kekal sebagai presiden sehingga mandat yang diterimanya sebelum ini berakhir. Pihak lain – walau siapa pun mereka – pula mesti bersabar dan menunggu mengikut apa yang sepatutnya.
Melepaskan jawatan pada ketika ini – apa lagi selepas insiden ‘derhaka’ secara terbuka malam tadi – hanya akan merosakkan imej Bersatu. Sesebuah parti tidak mungkin dihormati jika ketuanya tunduk dan mengalah kepada desakan yang terpencil.
Walaupun pada hakikatnya Bersatu ada isu krisis keyakinan yang mendalam, mengubah pemimpin pada waktu sekarang adalah percaturan yang silap. Persepsi umum akan dikompromi oleh isyarat yang salah.
Pada masa sama badan disiplin Bersatu pula mesti bertindak dengan berani untuk menghukum sesiapa saja yang mencatur langkah mengetepikan Muhyiddin – jika ada – agar semua pihak menghormati parti berkenaan.
HAFIZZUDDIN RAZIAN ialah peminat politik yang bergiat dalam parti kerajaan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

