Batalion Anak Muda mengecam sekeras-kerasnya serangan kejam yang dilakukan terhadap seorang kanak-kanak di Putrajaya semalam.
Tindakan mengheret dan mencucuk mangsa dengan jarum suntikan untuk menakutkan seorang kanak-kanak adalah tindakan pengecut dan melampaui batas kemanusiaan.
Serangan yang jelas dirancang ini adalah cubaan kotor untuk membungkam suara lantang yang membela rakyat.
Kami mendesak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM):
Bertindak segera — tangkap pelaku dan dedahkan dalang di sebalik serangan ini. Tiada alasan untuk kelewatan.
Pastikan siasatan telus — rakyat berhak tahu perkembangan sebenar, tanpa ada usaha menutup fakta oleh pihak luar.
Tingkatkan kawalan keselamatan rakyat — khususnya terhadap individu yang berdepan ancaman kerana memperjuangkan isu-isu rakyat.
Ketika kes arwah adik Zara Qairina Mahathir yang kami bangkitkan pada 5 Ogos masih belum selesai, satu lagi insiden melibatkan kanak-kanak yang menuntut perhatian serius semua pihak.
Kejadian ini boleh dilihat sebagai satu isyarat bahaya terhadap demokrasi dan keselamatan awam. Serangan terhadap mana-mana keluarga pemimpin NGO, wakil rakyat ataupun ahli politik adalah serangan terhadap hak bersuara setiap individu. Batalion Anak Muda yang berbaju coklat ini menegaskan — kita tidak akan tunduk, kita tidak akan gentar, dan kita tidak akan berdiam diri.
Kepada mereka yang cuba mengugut dan menakut-nakutkan, ketahuilah — kami akan terus berdiri bersama suara kebenaran.
Kami juga menyeru mana-mana saksi atau pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini untuk segera menghubungi pihak berkuasa.
MOHD IFWAT HAMIRUDIN ialah pengerusi Batalion Anak Muda.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

