Usul oleh Bersatu Port Dickson agar proses peralihan kepimpinan parti perlu segera digerakkan bukan sekadar suara akar umbi sebaliknya ia adalah isyarat jelas tentang perubahan arus politik dalaman Bersatu berdasarkan kebimbangan munasabah menjelang PRU16.
Dan ahli melihat inilah masanya Muhyiddin sebagai presiden pengasas Bersatu, menampilkan semangat ‘negarawannya’ dalam politik dengan membawa peranan baharu sebagai ‘mursyidul am’ bagi partinya.
Proses peralihan ini juga bermaksud, memberi ‘tonik’ kepada Perikatan Nasional (PN) agar mampu membina dengan pantas naratif baru untuk parti, bukan sekadar bernostalgia dengan sejarah silam.
Memang tidak salah untuk bernostalgia tentang pencapaian lalu, namun bernostalgia di kala kehidupan rakyat semakin tertekan dan negara diambang ‘muflis integriti’, nostalgia ini akan jadi bahan jenaka rakyat.
Hakikatnya, ‘Pandemik’ hari ini lebih parah apabila siri-siri pembohongan Anwar Ibrahim dan isu-isu integriti dan nepotisme semakin meruncing, di sinilah perlunya pemimpin yang berani dan tegas bangkit melawan memimpin rakyat.
Mungkin dengan peralihan kepimpinan ini juga, ia akan mengukuhkan gagasan Konsensus Nasional Baru (KNB) – yang boleh memposisikan PN sebagai sebuah entiti yang bukan lagi dilihat sebagai ‘blok Melayu-Islam semata-mata’, tetapi gagasan perpaduan baru yang lebih strategik, inklusif dan praktikal untuk mentadbir Malaysia.
Usul dari Port Dickson ini juga boleh dilihat sebagai trigger point untuk menguji keberanian dan keterbukaan parti dalam membuka ruang demokrasi, agar semua pihak berani tampil ke depan menyatakan pendirian tanpa apa-apa sekatan politik.
Ia juga mesej kepada Majlis Pimpinan Tertinggi untuk bersikap realistik, bukan sekadar mengikut telunjuk pemusatan kuasa mana-mana kumpulan atau individu.
Ahli semua sedar, tanpa proses peralihan ini, tidak akan ada nafas baru kepada PN. Tanpa imej dan nafas baru, PN akan gagal, maka tidak akan ada entiti yang akan memayungi ‘Payung Melayu’ hatta gerakan keseluruhan rakyat, jika ini berlaku - itulah skrip yang Anwar mahukan.
Perlu diulangi - Bersatu Port Dickson atau mana-mana ahli bersatu sekalipun, tidak menolak Muhyiddin sebagai presiden, apatah lagi meperlekeh jasa baktinya, sebaliknya usul tersebut adil iaitu mahu mengangkat beliau sebagai ‘mursyidul am’ yang memain peranan sebagai "eminent person". Ini perbezaan penting yang mesti difahami.
Usul ini menandakan strategi survival parti sedang dicari, bukan sekadar sentimental sejarah lalu. Sekiranya mahu Bersatu dan PN kekal relevan ketika menghadapi PRU-16, perubahan imej dan nada kepimpinan tak dapat dielakkan.
Jika proses peralihan ini tidak berlaku, Bersatu berisiko dilihat sebagai parti yang gagal mengurus masa depan mereka sendiri.
MAHDZIR IBRAHIM adalah anggota Bersatu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

