Saya merujuk kepada kenyataan Latheefa Koya di portal Malaysiakini bertarikh 13 Julai 2025.
Latheefa menggesa kerajaan untuk segera lucutkan kuasa perdana menteri dan eksekutif daripada sebarang pengaruh dalam pelantikan hakim.
Ironinya, gesaan ini datang daripada seorang “bekas” ahli politik yang secara tiba-tiba dilantik menjadi ketua pesuruhjaya SPRM semasa Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.
Mungkin Latheefa lupa bahawa kuasa dan prerogatif seseorang perdana menteri yang beliau gesa untuk lucutkan sekarang, adalah kuasa yang sama yang telah digunakan untuk melantik beliau sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.
Persoalannya, sewaktu dilantik sebagai ketua SPRM, mengapa Latheefa tidak menggesa Dr Mahathir untuk lucutkan kuasa beliau sebagai perdana menteri daripada sebarang pengaruh dalam pelantikan hakim mahupun SPRM?
Adakah kerana ketika itu kuasa tersebut menguntungkan sesetengah pihak?
Terkait kebocoran sebuah dokumen mirip minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), Latheefa juga melabelkan perkara yang terkandung dalam dokumen itu sebagai “skandal kehakiman terbesar dalam sejarah” .
Dokumen-dokumen yang didakwa mirip minit mesyuarat JAC itu belum disahkan ketulenannya, apatah lagi pengesahan terhadap dakwaan yang terkandung dalam dokumen dokumen tersebut.
Sebagai seorang peguam, Latheefa sepatutnya lebih arif mengenai aspek ketulenan sesuatu keterangan. Namun begitu, Latheefa dengan pantas dan dangkal melabelkan isu tersebut sebagai skandal terbesar dalam sejarah.
Pada tahun 1988, badan kehakiman negara berhadapan dengan krisis ekoran pemecatan allahyarham Mohamed Salleh Abas sebagai ketua hakim negara oleh Dr Mahathir, perdana menteri yang melantik Latheefa sebagai ketua SPRM.
Peristiwa itu juga menyaksikan berlakunya pindaan terhadap perlembagaan yang dibuat oleh kerajaan Dr Mahathir untuk mengehadkan kuasa mahkamah ketika itu. Sekali lagi, Latheefa mungkin lupa.
Pada tahun 2007, badan kehakiman turut dilanda skandal dengan penyebaran sebuah rakaman video perbualan seorang peguam yang mendedahkan campur tangan dalam pelantikan hakim.
Setelah suruhanjaya siasatan diraja (RCI) melakukan siasatan, antara individu yang dicadangkan oleh RCI untuk diambil tindakan adalah termasuk Dr Mahathir, perdana menteri yang melantik Latheefa sebagai ketua SPRM.
Skandal-skandal tersebut merupakan skandal kehakiman yang sebenar, namun Latheefa seakan-akan sudah lupa. Atau mungkin beliau buat-buat lupa kerana ia melibatkan Dr Mahathir?
Pelantikan ketua hakim negara ada prosesnya yang tersendiri termasuk rundingan bersama Majlis Raja-Raja Melayu. Hormati proses tersebut.
Sebaiknya Latheefa harus berhenti mengeluarkan kenyataan yang bersifat populis semata-mata lebih lebih lagi apabila Latheefa sendiri telah menikmati hasil pada suatu ketika dahulu daripada sistem kuasa yang sama yang kini beliau persoalkan.
ASHEEQ ALI SETHI ALIVI ialah ketua cabang PKR Batu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

